MKN telah membangunkan satu SOP Peruncitan sebagai garis panduan bagi semua pengusaha, peniaga dan pemilik perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Peruncitan sebagai garis panduan bagi semua pengusaha, peniaga dan pemilik perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia dibuat selepas pihaknya mendapati menjelang musim perayaan ini, didapati ramai membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk membeli barangan harian.

Ujarnya, meskipun ramai pembeli dan peniaga yang akur kepada SOP yang ditetapkan namun masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati  secara terang-terangan melanggarnya di pusat beli-belah, kedai runcit dan lain-lain pusat pembelian.

Jelas beliau, ramai dalam kalangan netizen telah menularkan imej dan video mereka yang tidak patuh kepada SOP dan ia sememangnya membimbangkan.

“Maka MKN telah membangunkan satu SOP Peruncitan yang bertindak sebagai garis panduan bagi semua pengusaha, peniaga dan pemilik perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi.

“SOP tersebut mewajibkan setiap pemilik premis memastikan penjarakan sosial diamalkan sepanjang masa, mengehadkan laluan keluar masuk ke premis dan kemasukan pelanggan ke dalam premis pada satu-satu masa bergantung kepada saiz premis untuk mengelakkan kesesakan.

“Memastikan semua staf, pembekal dan pelanggan melalui proses saringan suhu badan sebelum masuk ke premis, menyediakan hand sanitizer di pintu masuk, mewajibkan pemakaian alat penutup hidung dan mulut oleh pekerja ketika berurusan dan menjalankan proses nyah kuman dan pembersihan premis
sepanjang tempoh operasi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, SOP berkenaan merangkumi kompleks beli-belah, pasar raya dan pasar raya besar,  kedai pakaian, kedai serbaneka, mini-mart dan pelbagai peruncitan yang lain.

Menurut Noor Hisham, majikan-majikan peruncitan juga perlu menyelaras dan memantau kesemua garis panduan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan ini dipatuhi oleh para pekerja dan pelanggan.

Justeru beliau turut menyeru kepada orang ramai supaya mengelak daripada aktiviti membeli-belah di tempat-tempat yang sesak dan sempit, di mana penjarakan sosial sukar diamalkan.

“Harus diingati bahawa walaupun jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan adalah semakin menurun namun masih terdapat bahaya jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga mengesahkan pihaknya mengadakan perbincangan dengan MKN yang turut disertai Polis Diraja Malaysia bagi membincangkan tindakan yang boleh dilaksanakan terhadap ibu bapa yang berdegil dan membawa anak ke tempt umum dan bersesak.

Bagaimanapun perbincangan itu memutuskan polis akan bertindak memberi nasihat dan amaran kepada para ibu bapa supaya mengelak membawa kanak-kanak ke tempat yang sesak termasuk pusat beli belah dan juga hospital.-MalaysiaGazette