Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pos Malaysia Bhd. menjelaskan, meskipun terdapat lonjakan dalam jumlah bungkusan yang perlu dihantar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun perniagaan lain syarikat itu seperti mel, bungkusan antarabangsa, Pos Aviation dan Pos Logistik terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Syarikat tersebut bagaimanapun menegaskan, ia tetap komited melindungi 15,000 kakitangannya meskipun banyak syarikat di negara ini dan di seluruh dunia bertindak menutup perniagaan yang terjejas akibat wabak tersebut.

“Ketika banyak sektor yang terjejas di negara ini mengambil tindakan memotong gaji, membuang pekerja atau pelbagai lagi langkah drastik, Pos Malaysia tetap terus berusaha keras untuk memastikan masa hadapan setiap pekerja dilindungi.

“Pos Malaysia ketika ini sedang melalui proses transformasi untuk memulihkan semula perniagaan.

“Apabila pelan transformasi berjalan lancar dan situasi semakin baik, kami akan memastikan ganjaran yang lebih baik kepada para pekerja kami.

“Kami mengharapkan sokongan berterusan daripada orang ramai dan kami juga berharap mereka memahami kesukaran dan cabaran yang terpaksa kami hadapi semasa hari-hari yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat tersebut memberi respon kepada komen-komen yang tular di media sosial berhubung keluhan posmen yang tidak menerima bonus pada tahun ini walaupun terpaksa bekerja lebih keras berbanding biasa ekoran pertambahan penghantaran bungkusan semasa PKP. – MalaysiaGazette