Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua kiri) bergambar dengan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt. Rajab Ahad Ismail (dua kanan) serta Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (kanan) semasa aktiviti Penyerahan Kuih Raya di IPD Wangsa Maju, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tirai Ramadan semakin berlabuh, beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Hari-hari terakhir bulan mulia ternyata tidak disia-siakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk terus menjalankan tanggungjawab sosial sebagai badan korporat yang cukup prihatin dengan jasa petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19.

Hari ini, badan korporat yang prihatin itu memberi sumbangan sebanyak 800 set kuih raya kepada anggota polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sumbangan itu merupakan simbolik penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pasukan itu yang menjadi antara barisan hadapan utama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Pada hari ini, PTPTN selaku organisasi yang prihatin kami terpanggil untuk tampil memberi sedikit sumbangan kepada pasukan frontliner (barisan hadapan) iaitu PDRM.

“Ini sebagai menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak frontliner (barisan hadapan) yang bertungkus lumus memastikan keselamatan dan mengelakkan penularan wabak Covid-19 daripada PKP, PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan sekarang kita ada PKPB (Bersyarat) pula,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt. Rajab Ahad Ismail semasa aktiviti Penyerahan Kuih Raya di IPD Wangsa Maju, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2020.

Ahmad Dasuki menyifatkan tanggungjawab yang digalas oleh para barisan hadapan pada waktu ini adalah tugas dan jasa yang mulia.

Sumbangan itu menurut beliau adalah program tangungjawab sosial korporat (CSR) keempat dan terakhir yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini.

Selain berkongsi rezeki dalam bentuk kuih raya, sebelum ini PTPTN juga terlibat dalam mengagihkan sumbangan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam bentuk Powered Air Purifying Respirators (PAPR) dan Kelengkapan Pelindung Diri (PPE), kepada anggota polis dalam bentuk starter kit berbuka puasa selain meraikan anak yatim dan asnaf dalam bentuk sumbangan keperluan Aidilfitri.

Ahmad Dasuki berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan barisan hadapan negara yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah demi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar rakyat Malaysia keseluruhannya untuk menyambut baik usaha kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai usaha memastikan negara bebas daripada penularan wabak tersebut.

“Bersempena kehadiran bulan Syawal akan datang saya bagi pihak PTPTN mengucapkan banyak-banyak terima kasih atas sumbangan pasukan barisan hadapan yang bertungkus-lumus sama ada daripada segi petugas kesihatan, pasukan keselamatan yang menjaga kebajikan keselamatan rakyat Malaysia dari tempoh PKP sehingga PKPB.

“Sama-samalah kita menghargai apa yang dilaksanakan oleh kerajaan, dalam membasmi wabak Covid-19,” ujar beliau.

Dalam suasana beraya dengan norma baharu tahun ini, PTPTN turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus mengamalkan budaya menabung, seiring dengan Kempen Jom Beraya, Jom Menyimpan yang dianjurkan organisasi itu setiap tahun kepada semua pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). – MalaysiaGazette