Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Colombia dan Ghana dijangka menyertai Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) secara rasmi dalam masa terdekat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Tambah beliau, beberapa negara lain juga menunjukkan minat yang sama untuk menganggotai CPOC yang dipengerusikan Malaysia sehingga 31 Disember 2020.

“Sebagai negara pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan industri sawit dan menjaga kepentingan industri berkenaan kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat  Pengarah Eksekutif CPOPC, Tan Sri Yusof Basiron semalam.

CPOPC merupakan organisasi pengeluar sawit yang ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri sawit.

Khairuddin berkata, dalam pertemuan itu, beliau dan Yusof turut membincangkan usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dengan CPOPC, komitmen dan tindakan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan kempen anti-minyak sawit bagi menjaga  kepentingan industri sawit dan cadangan mengatasi isu berkaitan harga rendah minyak sawit mentah yang memberi kesan kepada pekebun-pekebun kecil dan pihak industri.

Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga berharap CPOPC akan menjadi jambatan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.- MalaysiaGazette