Petugas KKM bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang hadir membuat pemeriksaan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Wanita mengandung yang pulang ke Kelantan dan positif Covid-19 adalah dari zon merah di Ampang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita itu dikesan positif Covid-19 apabila membuat pemeriksaan rutin kandungan beliau di klinik kesihatan kerajaan di Kelantan.

“Wanita ini didapati balik ke kampung dari Ampang itu zon merah. Jadi apabila kes ini sampai ke kampung dan telah datang ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Mangsa mengandung 35 minggu dan berhasrat untuk melahirkan bayinya di sana. Tetapi disaring ujian Covid-19, dia positif Covid-19.

“Kita sedang menjalankan tindakan seterusnya untuk kontak rapat dan melihat daripada jangkitan itu didapati daripada zon merah.

“Kita sedang menjalankan siasatan dan bila kita ada keputusan baru kita boleh maklum kepada semua,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian KM.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan hari ini berkata wanita mengandung berusia 30an itu dikesan positif Covid-19 apabila pulang dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai.

Sebanyak 20 kontak rapat beliau sudah dikuarantin malah petugas klinik kesihatan yang merawat wanita terbabit turut dikenakan tindakan sama, bagi mengesan sebarang tanda jangkitan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata penduduk yang di zon merah digesa agar tidak kemana-mana dan hanya duduk di rumah.

Ia bagi memastikan kes seumpama yang berlaku kepada wanita mengandung di Kelantan itu tidak berulang.

“Kalau ada penduduk di zon merah dan jangkitan ada di zon itu, kita tidak pasti samada kita sudah dijangkiti atau tidak.

“Oleh itu bila kita pulang ke kampung, tidak bergejala dan dijangkiti besar kemungkinan kita akan menjangkiti ahli keluarga kita yang lain.

“Kita nasihatkan mereka di zon merah jangan balik ke kampung dan duduk di rumah malah sambut Aidilfitri secara tertutup,” katanya lagi. -MalaysiaGazette