PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SEPANG – Polis sedang memburu empat pekerja warga Indonesia termasuk seorang wanita yang melarikan diri dari rumah kongsi di Sepang selepas menjalani saringan COVID-19.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, syarikat  kontraktor pembinaan jalan yang beralamat di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjalankan saringan COVID-19 terhadap 26 pekerjanya yang tinggal di rumah kongsi tersebut pada 13 Mei lepas.

Pada 18 Mei, pihak kesihatan memaklumkan seorang pekerja warga Indonesia disahkan positif COVID-19 dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Klinik Kesihatan Sungai Pelek juga telah mengarahkan syarikat membawa kesemua pekerja di rumah kongsi berkenaan menjalani saringan kali kedua di klinik tersebut pada 19 Mei.

“Pada masa yang sama pihak syarikat mendapati empat pekerja berusia antara 22 dan 27 tahun telah melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, saringan kali kedua itu mendapati dua warga Bangladesh positif COVID-19 dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Orang ramai diminta memberikan maklumat serta kerjasama kepada pihak polis supaya keempat-empat mereka dapat dikesan,” katanya. – Bernama