Hospital Raja Permaisuri Bainun.

IPOH – Polis menahan lima lelaki termasuk seorang remaja kerana merusuh di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sehingga insiden itu tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A.Asmadi Abdul Aziz, berkata kekecohan itu tercetus susulan pergaduhan membabitkan dua wanita berumur 32 dan 40 tahun di kawasan perumahan di Kampung Gunung Cheroh di sini, kira-kira pukul 4 petang semalam sebelum kedua-duanya pergi ke HRPB secara berasingan untuk mendapatkan rawatan.

“Seorang lelaki berumur 20 tahun yang merupakan adik kepada wanita berumur 32 tahun datang ke HRPB pada jam 4.18 petang untuk mengambil dan membawa kakaknya membuat laporan polis selepas dipukul.

“Sebaik tiba di HRPB, dia terserempak dengan empat lelaki berumur 17, 26, 41 dan 47 tahun yang dipercayai memukul kakaknya dan mengakibatkan kekecohan serta pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

A.Asmadi berkata lelaki berumur 20 tahun itu telah membuat laporan polis kerana mendakwa menerima ugutan bunuh ke atas dirinya dan keluarga.

“Polis memberikan borang untuk pengadu menerima rawatan di hospital, namun semakan awal mendapati tiada sebarang luka atau lebam pada tubuh pengadu dan dia telah ditangkap untuk membantu siasatan.

“Empat lagi suspek turut ditangkap berhubung kes memukul kakak pengadu,” katanya semua mereka ditahan tidak lama selepas pergaduhan itu di pelbagai lokasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

— BERNAMA