Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2018.
KUALA LUMPUR – Masa untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun berlalu dan sokongan sepenuhnya harus diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Menurut Ketua Bersatu Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali, itulah satu-satunya pilihan untuk Bersatu bergerak ke hadapan dan menuju kecemerlangan.
“Mengundur ke belakang bersama Tun Mahathir dan pembangkang adalah jalan yang kelam dan tiada penentuan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau mengalu-alukan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa peletakan jawatan Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu adalah sah dan dengan itu Muhyiddin kini merupakan pemangku Perngerusi parti itu.
Katanya, langkah JPPM itu adalah tepat, tidak ada keraguan serta bersandarkan Perlembagaan Bersatu sendiri.
Sebagai salah seorang pemimpin Bersatu di peringkat bahagian, katanya, beliau percaya keputusan tersebut akan membolehkan Muhyiddin menguruskan parti dengan lebih baik, bukan saja menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, tetapi juga di masa-masa yang akan datang.
“Lagi pun Tun Mahathir sudah tiada sokongan majoriti di kalangan MPT parti, tetapi masalahnya beliau tidak mahu memanggil mesyuarat dan parti seolah-olah tidak bergerak sejak lebih dua bulan yang lalu.
“Sekarang, dengan Tan Sri Muhyiddin sudah disahkan sebagai Pemangku Pengerusi, beliau sudah boleh memanggil mesyuarat MPT bagi memastikan aktiviti parti berjalan seperti biasa dan meneruskan agenda pemilihan Bersatu,” katanya.
Menurut Norizan, dengan perkembangan terbaharu itu Bersatu akan dapat berperanan secara lebih baik dalam memberi khidmat kepada masyarakat.
Beliau juga berharap Muhyiddin dapat bertindak dengan berani dalam menangani percanggahan pendirian Dr Mahathir dalam keputusan parti membentuk kerajaan Perikatan Nasional demi masa depan parti.
Katanya, jika mereka didapati bersalah dari segi disiplin dan perlu diambil tindakan, termasuk gantung keahlian atau dipecat, Muhyiddin wajar bertindak pantas dalam melaksanakan keputusan tersebut.
“Masa depan parti dan negara lebih penting daripada individu dan kiranya Tan Sri Muhyiddin terus membiarkan gangguan wujud dalam parti, beliau dengan sendirinya akan terhalang daripada memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat dan negara.
“Selagi kewujudan golongan pengacau ini masih ada dalam parti, selagi itulah Bersatu akan berpecah, menjadi parti dua nakhoda dan tidak dapat bergerak ke mana-mana,” katanya.
Beliau juga berharap semua pihak memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin mengurus parti sebagaimana mandat yang dibuat oleh JPPM, lebih-lebih lagi sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.
“Masa untuk memberi sokongan kepada Tun Mahathir sudah pun berlalu dan sebagaimana kita semua pernah memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri sebelum ini, kita juga harus memberi sokongan yang sama kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekarang ini,” katanya. — MalaysiaGazette

 

3 Komen

  1. Halau saja orang tua ni keluar sebab dia dah nelampau sangat kurang ajarnya. Ramai ramai kita kejat dia macam kita kejar dia macam si bongkok dalam cerita orang minyak tu.

  2. Saya tak bersalah, ini semua pengkhianatan. Saya masih pengerusi parti… Tak caya cer tanya boboboi, sadiq sigaraga dan mat sijil palsu

Comments are closed.