Gambar hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2018

KUALA LUMPUR- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya mengambil inisiatif untuk memudahcara permohonan dan menambah baik tempoh proses kelulusan pembiayaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mikro dan koperasi.

Ini dilakukan dengan mengurangkan jumlah dokumen sokongan bagi inisiatif Covid Business Recovery- Micro (CBRM) oleh Tekun Nasional kepada empat sahaja berbanding 17 dokumen sebelum ini.

Sekarang, usahawan hanya perlu menyediakan salinan sijil pendaftaran syarikat atau lesen perniagaan, salinan kad pengenalan, salinan penyata bank dan salinan bil utiliti.

Proses permohonan Kemudahan Bantuan Khas oleh SME Bank dan Bank Rakyat pula dipendekkan kepada lima hari berbanding 30 hari (SME Bank) dan 21 hari (Bank Rakyat).

Proses permohonan Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia juga disingkatkan kepada 14 hari sahaja berbanding 30 hari sebelum ini.

Selain itu proses permohonan Skim Pembiayaan Francaisor, Pra Francais dan Francaisi oleh Perbadanan Nasional Berhad turut dipendekkan kepada 10 hari sahaja berbanding 14 hari sebelum ini.

Bagi Audit Pematuhan Program PROTEGE – Ready To Work (RTW), lawatan audit diminimumkan kepada satu hari sahaja berbanding tiga hari sebelum ini.

Proses pengeluaran penuh simpanan usahawan oleh Tekun Nasional juga dipendekkan kepada dua hari sahaja berbanding tujuh sebelumnya.

“Perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan usahawan mendapat sokongan sewajarnya daripada kerajaan supaya ianya dapat beroperasi seperti biasa.

“Adalah penting proses dan prosedur dipermudahkan serta ditambahbaik agar akses kepada kemudahan kewangan atau perkhidmatan lebih cepat diterima dan akhirnya menghasilkan impak yang positif,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette