Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia telah menerima hampir 40,000 aduan daripada pekerja tempatan dan luar negara yang mengadu diberhentikan, dipaksa menerima cuti tanpa gaji dan cuti tahunan serta lain-lain masalah.

China Press melaporkan, daripada jumlah aduan itu, 75 peratus membabitkan majikan yang tidak membayar gaji dan pemberhentian kerja.

Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata, walaupun MTUC memahami beban kewangan syarikat, tetapi kongres juga menentang pemberhentian pekerja dan paksaan memohon cuti.

Katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai program dan insentf yang bertujuan memastikan keberlangsungan syarikat.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majikan pastinya memerlukan pekerja yang berpengalaman untuk mengekalkan operasi syarikat,” katanya.

Menurut Solomon, sebelum memberhentikan pekerja, majikan perlu mempertimbangkan cara alternatif seperti memendekkan waktu berkerja, membekukan pengambilan pekerja baharu dan mengurangkan kerja lebih masa.

Selain itu, Solomon mencadangkan kerajaan supaya mengurangkan gaji pekerja berpendapatan tinggi daripada sektor awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) sehingga akhir tahun,  menundakan program lawatan selama setahun dan membekukan program biasiswa.

“Seterusnya, kerajaan boleh berbincang dengan pihak swasta supaya langkah seumpama boleh diambil,” katanya.

Solomon juga mencadangkan kerajaan melaksanakan undang-undang “penggajian kecemasan” yang melarang majikan mengurangkan pekerja dalam apa jua keadaan apabila kadar pengangguran mencecah satu tahap  tertentu.

Ujanya, kerajaan juga harus mencontohi Hong Kong dengan mendenda majikan yang memberhentikan pekerja selepas menerima bantuan dan insentif kerajaan.

Katanya, keadaan wabak memberi pengajaran kepada majikan supaya tidak membenarkan pekerja atasan “berbelanja secara mewah” semasa bertugas di luar kawasan. – MalaysiaGazette