Keluarga penduduk tanpa warganegara di Semporna, Sabah yang menerima bantuan daripada Hassan Unus. Foto: Hassan Unus

KUALA LUMPUR- Terhenti langkah Hassan Unus ketika sedang sibuk mengagihkan bantuan di sebuah kampung di Semporna, Sabah apabila disapa oleh seorang ibu tua: “ustaz ada beras lagi?”

Menurut pemuda berusia 28 tahun itu, wanita tanpa warganegara (stateless) itu bukan asing kepadanya dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama menjalankan tugas tersebut.

“Ibu tua ini amat saya kenali kerana kami sudah memberikan bantuan kepadanya sebelum ni. Disebabkan PKP telah sebulan berlalu mungkin stok makanan yang diberi sudah habis.

“Tambahan pula, kami juga berjanji akan memberi bantuan sekali lagi semasa Ramadan nanti.

“Ibu tua ini saya tahu sangat kisahnya kerana dalam usia yang masih bersisa perlu menjadi tonggak keluarga.

“Anak lelakinya sudah tidak mampu lagi untuk bekerja kerana mengalami tekanan jiwa akibat kemiskinan yang melampau. Disebabkan itu anak lelakinya tidak mampu lagi menyara anak dan isteri,” katanya dalam satu emel kepada MalaysiaGazette.

Tambah Hassan, kisah tersebut adalah satu daripada ribuan kisah kehidupan penduduk tanpa warganegara di Semporna.

Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai nelayan, peniaga kecil-kecilan seperti berniaga sayur yang pendapatan harian hanya sekitar RM 20 sehari.

Ada juga yang bekerja di kedai-kedai tetapi bayaran upah tidak setimpal, kadangkala ditindas majikan tetapi mereka tiada pilihan lain. Mahu atau tidak, mereka terpaksa juga bekerja disitu demi kelangsungan hidup.

Kehidupan harian yang sememangnya sudah sempit apatah lagi ketika musim PKP lagilah bertambah sukar.

Kesukaran itu bertambah, apabila mereka tidak mempunyai peluang untuk mendapat apa-apa bantuan kerana 60 peratus daripada mereka tidak mempunyai pengenalan diri.

Hassan Unus menyampaikan bantuan kepada
penduduk di Pulau Maiga, Semporna, Sabah. Foto: Hassan Unus

Kegagalan mereka untuk mempunyai dokumen pengenalan diri sejurus selepas kelahiran adalah kerana terdapat beberapa masalah. Antaranya faktor logistik dan tempat pendaftaran yang jauh dari tempat tinggal.

“Namun begitu, walau apapun mereka adalah saudara seakidah, saya dan rakan-rakan terpanggil untuk membantu mereka, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.

“Mereka ini terdiri daripada 99 peratus muslim yang juga memerlukan perhatian daripada kita,” ujarnya.

Menurut graduan Universiti Sains Islam Malaysia itu lagi, setakat ini beliau bersama rakan-rakan dan dibantu oleh NGO Yayasan Ikhlas telah menyumbangkan bantuan kepada 860 buah keluarga di 31 buah kampung dan seramai 601 buah keluarga telah menerima bantuan sebanyak empat kali sejak PKP.

Dengan itu, beliau merayu bantuan orang ramai untuk sama-sama berganding bahu meringankan beban penduduk tanpa warganegara di Semporna dengan memberikan sumbangan melalui:

Uthman Zunnurain Trading: MBB (maybank) 555108320789 dan BIMB (Bank Islam) 05058010027919 (Ref: bantuancovid19) atau;

Melalui NGO Yayasan Ikhlas atau menghubungi beliau di talian (01135384068).

-MalaysiaGazette