Penduduk Kuarters JKR menyalakan pelita sempena menyambut Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuarters JKR Batu 4 1/2 Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebenarnya boleh dikatakan jauh lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelum ini. Hal ini demikian kerana kita bukan saja diuji dari segi kawalan terhadap makan, minum dan hawa nafsu, tetapi turut diuji untuk lebih tabah, bersabar dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Ringkasnya, keikhlasan kita menerima ujian dalam bentuk ancaman wabak Covid-19 sepatutnya memberi makna yang lebih besar dalam sambutan Aidilfitri kali ini.

Ironinya berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan meraikan Aidilfitri selepas itu bukanlah perkara baharu bagi umat Islam. Sedar atau tidak, saban tahun kita melalui proses yang sama cuma apa yang membezakannya ialah sejauhmana kita terus
menginsafi dan memperbaiki kesilapan diri serta meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Jadi tahun ini kita diberi peluang untuk meraikan Ramadan dan Aidilfitri dalam suasana yang cukup berbeza. Misalnya, kita tidak dapat
bersolat tarawih berjemaah di masjid dan surau seperti biasa dan sudah tentu lebih memeritkan apabila kita juga tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan lebaran bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Siapa sangka pada tahun 2020 secara tiba-tiba kita akan berhadapan dengan situasi yang cukup pelik dan janggal seperti ini.

Jadi tanpa merungut mahupun tangisi situasi yang sedang berlaku, kita sepatutnya melihat apa yang sedang berlaku ini dalam ruang lingkup yang lebih besar dan menerima kenyataan ini secara positif dengan minda yang lebih terbuka dan reda.
Mungkin ini adalah peluang terbaik untuk kita benar-benar memaknai sambutan Hari Raya Aidilfitri. Maksudnya di sini ialah kita diberi ruang untuk membuktikan keikhlasan dalam menerima ketentuan dan kehendak Allah SWT yang lebih mengetahui apa yang terbaik dan apa yang diperlukan oleh hambaNya.

Misalnya, kita perlu memahami dan berfikir secara waras dan matang kenapa tidak dibenarkan bersolat jemaah di masjid dan surau serta tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk Hari Raya kali ini. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana mahu melindungi kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia. Hakikatnya, kita mahu menghentikan penularan wabak, memutuskan rantaian penularan serta mencegah cetusan kluster baharu. Jika ini dapat dilakukan dengan berkesan, kita dapat mengawal sepenuhnya penularan wabak ini di negara
kita, sekali gus mengurangkan kes kematian.

Justeru terserah kepada kita sekarang bagaimana mahu menjadikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dari tahun-tahun sebelumnya. Banyak sebenarnya yang boleh kita buat untuk menjadikan Aidilfitri ini lebih bermakna antaranya, patuh kepada segala nasihat, arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Kita wajar memahami dan mematuhi SOP sabutan Hari Raya supaya
segala pengorbanan yang kita buat ini berbaloi dan berkesan.

Terimalah kenyataan kita sedang diserang oleh musuh yang tidak kelihatan. Jangan lupa individu yang tidak bergejala tetapi didapai positif virus ini sepatutnya menggusarkan kita semua kerana kita tidak tahu siapa yang telah atau sedang dijangkiti virus ini. Jadi aktiviti rutin seperti rumah terbuka, ziarah menziarahi serta
bersalaman dan berpelukan wajarlah dielak. Sebaliknya tuntutan amalan norma baharu ialah, pastikan kita sentiasa mengamalkan penjarakan sosial di samping memakai penutup hidung dan mulut serta kerap membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan. Percayalah sambutan Hari Raya kali ini akan benar-benar bermakna dengan amalan dan gaya hidup baharu yang lebih sihat dan selamat seperti ini.

Sebagai tambahan, marilah sematkan di pemikiran masing-masing bahawa kita tidak pulang ke kampung halaman pada tahun ini kerana kita lebih sayang kepada ibu bapa dan kaum keluarga di sana. Hal ini kerana kita sebenarnya lebih mengutamakan tahap kesihatan dan keselamatan mereka. Jika konsep ini dapat dihayati, percayalah inilah sambutan Hari Raya yang paling bermakna kepada kita semua. Yakinlah ibu bapa juga memahami situasi genting yang sedang berlaku serta kekangkan yang kita hadapi. Apa yang pasti, silaturahim dan hubungan kekeluargaan tidak mungkin akan terputus hanya kerana kita tidak pulang berhari raya di kampung terutamanya disebabkan alasan dan punca yang cukup jelas dan nyata.

1 Syawal adalah hari kemenangan kepada umat Islam, jadi marilah kita meraikan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran dengan mengutamakan kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia. Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini
lebih bermakna buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia