Kakitangan BSN menghulurkan bantuan kepada penerima dari Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi jenama tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), BSN Care telah menghulurkan bantuan kepada keluarga ibu tunggal serta golongan miskin dan asnaf sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Usaha ini telah diadakan di setiap negeri di seluruh negara, yang mana bantuan berupa barangan keperluan asas telah diagihkan kepada 260 buah keluarga secara keseluruhan dengan jumlah sumbangan sebanyak lebih kurang RM50,000.

Bantuan telah diberikan terus kepada penerima di kediaman mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berlangsung.

”Ramai rakyat Malaysia yang telah kehilangan punca pendapatan mereka akibat pandemik Covid-19. Perkara ini secara tidak langsung menyukarkan mereka bukan sahaja untuk menanggung keperluan keluarga malahan juga meneruskan kehidupan seharian.

”Atas dasar itulah pihak BSN telah mengambil inisiatif untuk menggerakkan kakitangan-kakitangan kami di seluruh negara menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” kata Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani.

Sejajar dengan visi ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’, BSN komited untuk membina hubungan yang mampan dan bermakna dengan para pelanggan bukan sahaja menerusi perkhidmatan perbankan, juga program CSR untuk memberi impak yang positif kepada komuniti. – MalaysiaGazette