Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pandemik Covid-19 telah mengubah cara manusia berinteraksi yang mana teknologi terkini menjadi teras kepada cara berkomunikas termasuk menggunakan chatbox.

Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, Plus Malaysia Bhd. (Plus) memperkenalkan PLUS Texting Realtime Interface (Putri) iaitu chatbox pertama industri lebuh raya.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi PLUS, Shamsul Izhan Abdul Majid, ia dijangka dapat mengendalikan lebih daripada 70 peratus daripada 1,500 panggilan harian yang diterima Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC).

Katanya, Putri direka untuk berinteraksi dengan pelanggan lebuh raya dari semasa ke semasa melalui ciri kepandaian buatan dan mesin pembelajaran yang dimilikinya.

Tambah Shamsul Izhan, pada ketika ini, sebahagian besar daripada panggilan yang diterima adalah bagi mendapatkan maklumat standard lebuh raya.

Dengan bantuan Putri, petugas di TMC berupaya memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan dengan lebih lancar untuk membantu pelanggan yang berada di dalam kesulitan di lebuhraya.

Chatbox itu dapat diakses dan digunakan dengan lebih mudah kerana ia bertindak untuk memberikan respons dengan lebih pantas dan mampu untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan lebuhraya.

“Putri diperkenalkan untuk mengendalikan ribuan maklumbalas mengenai perkhidmatan lebuh raya secara digital.

“Putri berupaya memberikan pelbagai maklumbalas berkaitan dengan perkhidmatan lebuh raya PLUS secara serentak antaranya, kadar tol, maklumat trafik terkini, pertanyaan mengenai PLUSMiles, produk, kemudahan, promosi dan insiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelanggan lebuh raya kini boleh berinteraksi dengan PUTRI Versi Beta sepanjang tempoh ujian rintis ini yang telah dilancarkan pada 27 April 2020 melalui laman web PLUS (www.plus.com.my) dan portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my) dan semenjak 11 Mei 2020 di Aplikasi PLUS .

Tidak lama lagi ia bakal disediakan menerusi platform Media Sosial dan aplikasi WhatsApp dengan kemampuan secara dwibahasa.

Putri dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.