Pemain-pemain Malaysia bergambar pada perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tiada perlawanan persahabatan membabitkan skuad Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Oktober depan, susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingan berkata, walaupun ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan beberapa aksi persahabatan, namun pelbagai aspek perlu diambil kira badan induk termasuk sekatan perjalanan yang dilaksanakan untuk membendung jangkitan wabak itu.

“Kami merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan, tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan kami untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

“Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan Covid-19, dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih, ” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan jadual terkini yang dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini, Malaysia akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober ini, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober ini sebelum melengkapkan jadual perlawanan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Sebelum ini, AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menangguhkan perlawanan kelayakan Asia kempen Piala Dunia Qatar 2022 semasa jendela antarabangsa pada 23-31 Mac ini dan 1-9 Jun ini kerana wabak Covid-19. – MalaysiaGazette