Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan pergerakan rentas negeri seminggu sekali terbatal.

Ini selari dengan pengumuman kerajaan yang tidak lagi membenarkan pergerakan sedemikian dilakukan atas apa jua alasan kecuali kematian atau kecemasan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan tiada lagi kebenaran rentas negeri diberikan susulan kedegilan orang ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berhari raya walaupun negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tidak kira suami isteri atau sesiapa sahaja. Apabila kita kata tiada lagi pergerakan rentas negeri, bermakna tiada lagi pergerakan rentas negeri. Sesiapa sahaja.

“Tertakluk kepada perkara yang saya umumkan semalam,” tegasnya semasa sidang media hari ini.

Hari ini, kenderaan-kenderaan yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri akan diarah berpatah balik dan dikompaun.

Ketika ditanya berhubung satu hantaran tular di media sosial mengenai seorang wanita yang mendakwa berjaya melakukan pergerakan rentas negeri kerana mempunyai “kabel” (hubungan baik) dengan pihak atasan Polis Diraja Malaysia, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan disiasat oleh polis sama seperti kes-kes sebelum ini.

Menjawab kepada pertanyaan sama ada bolehkan seseorang itu bermalam semasa melakukan ziarah Aidilfitri, Ismail Sabri menegaskan, SOP hanya membenarkan ziarah Aidilfitri pada hari raya pertama sahaja.

Sekiranya bermalam, ia sudah dikira sebagai dua hari.- MalaysiaGazette