Seorang peniaga restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini kerana didakwa menipu seorang pegawai sebuah syarikat gadaian emas Ar Rahnu cawangan Selasih, di Sri Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2020

SELAYANG – Seorang peniaga restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa menipu seorang pegawai sebuah syarikat gadaian emas Ar Rahnu cawangan Selasih, di Sri Gombak.

Tertuduh Rozaini Rosdin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Syafeera Mohd Said.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.

Difahamkan, tertuduh sebelum ini merupakan seorang peniaga kedai emas yang kemudian telah beralih perniagaan selepas mengalami masalah kewangan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, Rozaini didapati telah menipu pegawai syarikat berkenaan sebanyak sembilan kali berhubung urusan gadaian emas tidak tulen yang kesemuanya berjumlah hampir RM1.4 juta.

Kesalahan itu dilakukan olehnya sejak Januari 2018 sehingga September tahun lepas.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin bagi setiap tiga kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM130,000.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, jaminan diberikan sebanyak RM100,000 manakala bagi pertuduhan keempat hingga kesembilan jumlah jaminan masing-masing dikenakan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut memerintah tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa dan perlu hadir ke balai polis setiap awal bulan untuk tujuan pemantauan.

Menurut Syafeera, sekiranya arahan itu dilanggar, jaminan tersebut akan dibatalkan.

Beliau kemudiannya menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette