Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Ketika mesyuarat pasca-Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seramai 35 pegawai hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua pegawai  itu telah disaring dan mendapati kesemua mereka adalah negatif.

“Sebaik pesakit dijangkiti Covid-19, kita akan gerakan kakitangan KKM untuk mengenalpasti kontak rapat pesakit dan fokus kepada ahli keluarganya, dan semua yang menghadiri mesyuarat tersebut.

“Kita ada 35 pegawai yang hadir mesyuarat itu tetapi adalah lebih penting adalah apa yang kita lakukan minggu lalu dalam SOP iaitu penjarakan sosial satu meter.

“Pegawai yang hadir mesyuarat harus mencuci tangan dengan sabun dan kita akan elakkan ruang sempit semasa mesyuarat,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Muhyiddin semalam diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai kanan yang disahkan positif Covid-19.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lalu yang turut dihadiri pegawai berkenaan.

Muhyiddin turut disahkan negatif Covid-19.

Justeru itu, KKM telah mengarahkan kesemua 35 pegawai itu supaya mengasingkan diri selama 14 hari.

“Harap mereka akan kuarantin diri mereka selama 14 hari dan masuk hari ke 15 kita akan buat saringan kedua dan sekiranya negatif mereka boleh datang kerja semula,” katanya lagi.

Sebelum ini tular satu memo daripada Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mengesahkan beliau positif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin di hospital. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM kena kuarantin 2 minggu