KUANTAN – Seorang peniaga mendakwa kerugian RM859,500 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita yang berusia 52 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki pada 24 April lepas yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan syarikat penghantaran.

Suspek dikatakan memberitahu terdapat bungkusan dari Sabah ke Pahang yang ditahan kerana mengandungi kad pengenalan serta kad kredit mangsa dan apabila disemak ia berkaitan kegiatan pengubahan wang haram.

“Mangsa dimaklumkan bahawa polis akan menghubunginya bagi tujuan siasatan dan tidak lama kemudian, suspek lelaki kedua yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Ku memberitahu nama mangsa juga terlibat dalam kes dadah.

“Suspek kedua dikatakan mengarahkan mangsa untuk membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang simpanannya ke situ supaya wang itu tidak ditahan semasa siasatan berjalan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek kedua juga didakwa telah memberikan nombor telefon yang perlu diletakkan pada ruangan maklumat peribadi akaun baharu itu dan diminta berkongsi nombor akaun tersebut dengan ‘polis’.

Mangsa mendakwa telah memindahkan RM509,500 ke akaun baharu itu pada keesokkan harinya, sebelum dihubungi ‘Inspektor’ itu beberapa hari kemudian yang menuntut mangsa membuat bayaran lain supaya tidak ditahan.

“Mangsa mendakwa telah membuat 75 transaksi pemindahan wang ke pelbagai akaun diberikan suspek yang akhirnya berjumlah RM350,000 dengan jaminan wang itu akan dipulangkan selepas siasatan tamat.

“Bagaimanapun, setakat semalam, mangsa mendakwa masih belum menerima wangnya kembali selain cubaan untuk menghubungi suspek gagal menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera dekat sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.- BERNAMA