Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan barisan hadapan (frontliners) yang bertugas pada 1 Syawal esok, sebanyak 2, 000 pek Juadah Hari Raya akan diagihkan kepada mereka di Negeri Sembilan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penyerahan sumbangan pek juadah itu akan diserahkan kepada wakil-wakil petugas barisan hadapan.

Pek Juadah Hari Raya yang diterima itu sumbangan dari pihak-pihak Badan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan, Wakil Rakyat dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah), Coca-cola Bottlers Malaysia Sdn Bhd, Syarikat Nestle (M) Sdn Bhd dan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pada hari ini, penyerahan akan dibuat oleh Aminuddin yang berupa pek juadah raya kepada wakil-wakil barisan hadapan iaitu Panglima 1 Briged, Brigadier Jeneral Mhd Nazri b Abd Rahman,Ketua Polis Negeri, Deputi Komisioner Datuk Mohamad Mat Yusop, Pengarah Kesihatan Negeri, Datin Dr. Harlina Abd Rashid.

Selain itu Pengarah Majlis Keselamatan Negeri, Aswanjaya Abd Karim, Pengarah RELA, Darman b Dabang, dan Pengarah APM, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim akan menerima pek juadah tersebut, kata satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, agihan kepada petugas akan dilaksanakan di pagi 1 Syawal 1441 H di semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Stesen Kuarintin, Sekatan Jalan Raya dan Bilik Gerakan serta Hospital yang terlibat dalam pencegahan penularan wabak Covid-19.

Tegas Menteri Besar, kerajaan negeri merakamkan setinggi penghargaan kepada para penyumbang yang berkongsi kegembiraan dengan petugas barisan hadapan yang akan bertugas pada 1 Syawal.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua khususnya barisan frontliners yang diarahkan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri,” tegas beliau.