Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan melibatkan 10 orang sekeluarga membawa kepada perselisihan faham sehingga mencetuskan pergaduhan besar

Ia juga menyebabkan kerosakan kepada kenderaan penduduk perumahan setempat.

Kejadian berlaku semalam lebih kurang jam 10.50 malam di sebuah Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Seri Mazlan Lazim berkata,  polis telah menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian pergaduhan melibatkan seramai lebih kurang 30 orang di tempat kejadian.

Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, polis bergegas ke lokasi dan siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan oleh salah faham.

“Pada awalnya, sekumpulan lelaki seramai lebih kurang 10 orang bergaduh sesama ahli keluarga namun pertengkaran di antara lelaki-lelaki India dan lelaki-lelaki Melayu tersebut tercetus apabila sekumpulan lelaki India itu tidak berpuas hati kerana tindakan beberapa orang Melayu tersebut yang cuba meleraikan pergaduhan dan dianggap mencampuri urusan keluarga mereka.

“Akibatnya, berlaku tolak menolak dan pergaduhan di antara mereka sehingga terdapat beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan parkir PPR tersebut telah dilanggar oleh kenderaan suspek dan mengakibatkan kerosakan.

“Setakat ini, pihak polis belum menerima laporan pemilik-pemilik kenderaan yang telah dilanggar suspek dalam kejadian tersebut.

“Rentetan kejadian itu, tangkapan telah dibuat terhadap 20 orang lelaki dari dua komuniti berlainan yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 33 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, seorang suspek lelaki mengalami sedikit kecederaan pada jari telunjuk tangan kanan manakala suspek-suspek lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama 4 hari bermula pada 23 Mei 2020 hingga 26 Mei 2020.

Ujar beliau, pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek-suspek lain yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang yang sedia ada. Hari Raya Aidilfitri hampir menjelang dan pada waktu ini.

“Kita juga sedang menghadapi ancaman Covid-19, justeru orang ramai dinasihatkan supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum agar kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, sila hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette