KABUL – Mengejutkan apabiila kumpulan Taliban membuat pengumuman gencatan senjata selama tiga hari berkuatkuasa hari ini bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Agensi melaporkan, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid memberitahu kepemimpinan kumpulan itu mengarahkan semua pejuang mereka supaya mengambil langkah khas untuk keselamatan serta tidak menjalankan operasi ofensif ke atas musuh di mana-mana.

“Pertempuran akan dihentikan selama tiga hari bermula hari ini sempena Aidilfitri dan semua pejuang Taliban tidak boleh masuk kawasan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial hari ini waktu tempatan.

Presiden Ashraf Ghani kemudian mengalu-alukan tawaran itu dan mengarahkan pasukan tenteranya untuk turut mematuhi gencatan senjata berkenaan selama ianya berkuatkuasa.

“Saya mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata oleh Taliban,” katanya melalui Twitter dengan segera.

Manakala Amerika Syarikat (AS) melalui perutusannya pula memuji tindkan tersebut.

Tentera Kabul juga tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan di bawah penguasaan dan kawalan Taliban.

Hakikatnya gencatan senjata ini adalah satu langkah mengejutkan itu menyusuli pertempuran berdarah selama berbulan-bulan dengan tentera Afghanistan, selepas kumpulan berkenaan memeterai perjanjian bersejarah bersama AS.

Sejak pencerobohan AS pada 2001, hanya ada satu lagi pemberhentian pertempuran yang singkat, iaitu gencatan senjata mengejutkan selama tiga hari antara Taliban dengan Kabul sempena sambutan Aidilfitri pada 2018.

Ia berikutan seruan gencatan senjata oleh Ashraf, diterima oleh pihak pemberontak berkenaan.

Ketika itu, rakyat Afghanistan meraikan tempoh damai singkat berkenaan dengan pejuang Taliban, pasukan keselamatan dan orang awam saling berpelukan, berkongsi aiskrim serta merakamkan selfie dalam suasana yang tidak dapat dibayangkan sebelumnya.

Beberapa hari selepas pemimpin Taliban Haibatullah Akhundzada sudah memberi bayangan sambil menggesa Washington supaya tidak mensia-siakan tawaran.

Sebelum ini perjanjian dimeterai militan berkenaan dengan AS pada Februari lalu yang membuka laluan untuk pengunduran tentera asing dari negara ini.

Perjanjian AS-Taliban itu menyasarkan pembukaan laluan untuk pihak pemberontak mengadakan rundingan damai secara langsung dengan Kabul.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, turut mengalu-alukan gencatan senjata itu dan menggesa semua pihak merebut peluang itu untuk keamanan demi kebaikan seluruh rakyat Afghanistan. –MalaysiaGazette