KABUL – Berikutan gencatan senjata selama tiga hari sempena Aidilfitri oleh Taliban, kini Presiden Afghanistan pula membuat pengumuman berhubung tahanan mereka.

Agensi melaporkan, dalam satu kenyataan oleh jurucakap Presiden Ashraf Ghani mendedahkan pihaknya telah memulakan proses membebaskan 2,000 tahanan militan Taliban bermula semalam.

Katanya, kerajaannya bersedia mengadakan rundingan damai dengan Taliban selepas menerima tawaran mereka untuk gencatan senjata selama tiga hari untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam.

“Keputusan membebaskan tahanan penjara itu juga bertujuan memastikan proses rundingan damai berkenaan berjalan lancar,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, pada Februari melalui perjanjian Amerika Syarikat (AS) – Taliban ada menetapkan pemerintahan Afghanistan akan membebaskan hingga 5,000 tahanan Taliban

Manakala kumpulan pemberontak akan membebaskan sekitar 1,000 anggota pasukan keselamatan Afghanistan.

Pertukaran tahanan itu dilihat sebagai langkah membina keyakinan menjelang rundingan damai antara pemerintah dan Taliban yang dinanti-nantikan.

Kerajaan Ashraf sudah membebaskan 1,000 tahanan Taliban manakala kumpulan militan itu pula membebaskan 300 anggota keselamatan Afganistan.

AS melalui perutusannya pula memuji tindkan tersebut.

Sejak pencerobohan AS pada 2001, hanya ada pemberhentian pertempuran yang singkat, iaitu gencatan senjata selama tiga hari antara Taliban dan Kabul sempena Aidilfitri pada 2018. – Agensi