VIENNA – Gara-gara melanggar perintah kawalan pergerakan tangani pandemik Covid-19, Presiden Austria, Alexander Van der Bellen memohon maaf kepada keseluruhan rakyatnya.

Ini kerana kecuaian beliau melanggar undang-undang berada di sebuah restoran bersama rakan dan isterinya di luar tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu tidak boleh lebih dari 11 malam.

Agensi melaporkan, Alexander mengakui kesilapan beliau dan tampil memohon maaf tanpa membuat apa-apa penafian berhubung dakwaan tersebut.

“Inilah kali pertama saya bersama isteri serta dua orang rakan keluar dari pengurungan. Memang untuk kali pertama.

“Sedar tidak sedar, sudah terlangkau masa. Saya benar-benar minta maaf. Ini sememangnya satu kesilapan,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.

Pengakuan Alexander berlaku selepas akhbar Kurier membuat laporan polis ketika membuat rondaan terjumpa Presiden dan isteri serta dua orang rakan di sebuah restoran Itali di bandar Vienna tengah malam kelmarin.

Ketika ini Austria melaksanakan perintah pengurungan agak awal dan ketat untuk memerangi koronavirus pada pertengahan Mac.

Bagaimanapun berlaku sedikit kelonggaran pada pertengahan April apabila sekatan mula dibuka secara perlahan-lahan dengan kadar jangkitan mula menunjukan penurunan.

Hanya minggu lepas, kelonggaran telah diberikan dengan membenarkan restoran dibuka namun perlu ditutup sebelum jam 11 malam.

Restoran Itali itu mungkin dikenakan denda kerana melanggar sekatan baru namun Alexander berikrar akan turut bertanggungjawab dengan apa yang berlaku kelmarin.

Penduduk Austria sebanyak 8.8 juta terpaksa melalui mimpi ngeri apabila sekurang-kurangnya 640 kematian telah direkodkan di negara itu daripada 16,453 kes setakat ini. –MalaysiaGazette