Gambar ehsan:PDRM Gombak

KUALA LUMPUR – Akibat memaki hamun polis dengan perkataan  ‘polis babi’, seorang juruteknik elektrik dan pembuat cincin yang enggan bekerjasama dengan polis dalam satu pemeriksaan telah diberkas.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 1 pagi semalam di Taman Selayang Jaya, Gombak.

Kedua-dua suspek turut dicekup atas kesalahan memiliki dadah.

Ketua Polis daerah Gombak Asisten Komisioner, Arifai Tarawi berkata semasa kejadian sepasukan IPD Gombak terlibat rondaan di Selayang Jaya sebelum terserempak dua orang individu menaiki motosikal.

“Polis kemudian menahan dua lelaki yang menaiki motosikal itu di Jalan 26 Taman Selayang Jaya.

“Hasil pemeriksaan pada kedua-suspek, polis mendapati pemboncengnya memiliki dua paket dadah dipercayai syabu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ketika ditahan kata beliau, pembonceng motosikal berkenaan enggan memberi kerjasama kepada anggota polis yang membuat pemeriksaan.

“Ketika ditahan, pembonceng motosikal tersebut enggan bekerjasama telah memaki hamun dengan perkataan “polis babi” dan telah bergelut dengan pihak polis untuk melepaskan diri.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan kedua dua suspek atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memiliki dadah.

“Malahan kedua dua suspek berusia 33 dan 37 tahun menerusi ujian air kencing didapati positif dadah Methapethamine,” ujarnya.

Mereka telah ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dan berjaya direman selama tiga hari sehingga 27 Mei ini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan, 509 Kanun keseksaan, 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.- MalaysiaGazette