Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik  berikutan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran.- Gambar hiasan.

GENEVA – Ujian ubat hydroxychloroquine yang didakwa boleh boleh merawat koronavirus telah dihentikan atas faktor-faktor keselamatan.

Percubaan ubat itu di beberapa negara telah digantung sementara sebagai langkah-langkah keselamatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Langkah itu dibuat selepas kajian perubatan mencadangkan ubat berkenaan boleh meningkatkan risiko kematian pesakit Covid-19.

Donald Trump sebelum ini memaklumkan beliau mengambil ubat tersebut untuk melawan virus tersebut.

Malah, Presiden Amerika Syarikat itu berulang kali mempromosikan ubat anti-malaria tersebut – bertentangan dengan nasihat perubatan dan walaupun ada amaran daripada pegawai kesihatan awam bahawa ia boleh menyebabkan masalah jantung.

Minggu lalu, sebuah kajian dalam jurnal perubatan The Lancet mengatakan tidak ada kebaikan merawat pesakit koronavirus dengan hydroxychloroquine, bahkan pengambilannya dapat meningkatkan jumlah kematian dalam kalangan pesakit Covid-19.

Hydroxychloroquine selamat untuk malaria dan keadaan seperti arthritis, tetapi tidak ada ujian klinikal yang mengesyorkan penggunaannya untuk merawat Covid-19.

WHO, yang menjalankan ujian klinikal pelbagai ubat untuk menilai yang mana mungkin bermanfaat dalam merawat penyakit ini, sebelumnya telah menimbulkan kebimbangan mengenai laporan individu mengubati diri sendiri kerana membahayakan diri sendiri.

Pada hari Isnin, pegawai di agensi kesihatan PBB mengatakan Hydroxychloroquine akan dikeluarkan dari percubaan ubat merawat koronavirus sementara menunggu penilaian keselamatan.

Kajian Lancet membabitkan 96,000 pesakit koronavirus dengan hampir 15,000 orang yang diberi Hydroxychloroquin atau berkaitan cloroquine – sama ada ubat itu sahaja atau bersama antibiotik.

Kajian mendapati bahawa pesakit yang mengambil ubat itu lebih cenderung mati di hospital dan mengalami komplikasi masalah jantung berbanding pesakit Covid lain dalam kumpulan perbandingan.

Kadar kematian kumpulan yang dirawat adalah: hydroxychloroquine 18%; klorokuin 16.4%; kumpulan kawalan 9%.
Mereka yang dirawat dengan hydroxychloroquine atau chloroquine dalam kombinasi dengan antibiotik mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette