Muhammad Sanusi Md Nor tidak dapat menahan sebak ketika dtemubual di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Model kejayaan keluar dari kepungan kemiskinan ada pada bapa, ibu dan adik beradik saya, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd. Nor dalam temubual eksklusif bersama MalaysaGazette.

Ternyata beliau tidak mampu menahan sebak apabila ditanya tentang latar belakang keluarganya. Air matanya mengalir sehingga temubual terpaksa dihentikan seketika bagi memberi ruang kepada Muhamad Sanusi meredakan perasaannya.

Dilahirkan dalam keluarga besar 13 adik beradik, kehidupan yang dilaluinya satu masa dulu sememangnya sukar, namun tidak ada alasan untuk ibu dan bapanya menyerahkan nasib kepada takdir.

“Bapa saya potong getah, panjat petai, cari rotan, jadi buruh di kampung, jadi buruh Singapura,cari ikan, berkebun, semua bapa saya buat.

“Emak saya kerja dengan Cina tanam ubi, cabut ubi, kemas rumah, potong getah,” katanya sambil merumuskan latar belakang keluarganya yang miskin itu telah membentuk karakter politiknya.

Temubual Eksklusif bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 25 MEI 2020.

Disebabkan latar belakang itu juga, Muhammad Sanusi berazam mahu memberi perhatian kepada mencari jalan menyelesaikan kesempitan hidup rakyat, kemiskinan dan keciciran anak-anak dari alam persekolahan.

“Saya percaya pendidikanlah yang akan mengeluarkan kita dari putaran ganas kemiskinan ini,” katanya yang mengangkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei lalu.

Muhammad Sanusi turut melahirkan kebimbangan putaran kemiskinan masa kini yang bakal merempuh generasi muda kerana terpengaruh dengan gaya hidup semasa sehingga mengheret mereka ke lembah yang tidak diingini.

Mengenai penglibatannya dalam dunia politik, katanya, jawatan Menteri Besar bukan tangga terakhir sebaliknya beliau mahu bergerak meniti tangga-tangga yang lain juga. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Semoga Allah memandu YAB MB Kedah supaya dapat melaksanakan amanah dgn sebaiknya..

  2. MB yg lebih memahami keresahan dan kemiskinan rakyat…bukannya MB yg lahir didulang perak, yg tak pernah merasai kepayahan hidup rakyat..lahir anak PM, hidup bergelumang duit dan asyik duk balik KL jerrrr

  3. Slm, jgn pula tanam tebu di bibir mulut saja kut, usah jadi lidah hipokrit, lain di mulut lain pula di hati,rakyat Kedah mahu lihat bukti,realiti,awas bantuan kewangn seprtimana penjawat dpt mesti di beri juga kpd penjawat suwasta, seprti; guru2 sek agama rakyat,pekerja2 boroh juga kena di ambil prihatin,fakir miskin &hak2 mereka juga kena di beri keadilan yg samarata,ingat gaji anda di bayar oleh rakyat,anda boleh duduk di kersi MB tu adalah hasil undian jari jemari rakyat, awas jika rakyat meluat anda terimalah padahnya nanti pru@prk…ingat, jwatan anda adalah amanah Allah…
    والسلام.

Comments are closed.