Pendatang asing tanpa izin menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 20 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pihak mempertikaikan tindakan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) adalah tidak adil kerana jabatan itu diamanahkan menjalankan tugas dan tanggungjawab membanteras pendatang haram di negara ini.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menegaskan operasi yang dijalankan mengikut lunas undang-undang dan peraturan di beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Presidennya, Norhisham Murujan berkata, lambakan pendatang haram di kawasan tersebut sudah tentunya memberi pelbagai kesan keselamatan apabila lambakan mereka tidak dikawal terutama selepas PKPD tamat nanti.

”Tindakan Jabatan Imigresen Malaysia adalah demi menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negara ini daripada sebarang ancaman.

”Pertanggungjawaban mendaulatkan keselamatan dan kesejahteraan negara akan terus dipikul dan dilaksanakan oleh pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia bagi menentukan negara berdaulat serta mempastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, KPISM menyokong usaha jabatan itu membanteras pendatang haram di negara ini diteruskan tanpa kompromi.

”Ketegasan Ketua Pengarah JIM adalah simbol kesepaduan ketegasan seluruh warga kerja JIM. Kedaulatan dan keselamatan tanpa kompromi,” tambahnya.

Dalam kenyataan tersebut, beliau berkata, kesatuan yang mewakili 14,000 orang pegawai imigresen itu turut berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan oleh jabatan berkenaan  dalam memastikan pegawai-pegawai imigresen yang bertugas di Depot Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA diberi perhatian utama dari segi penyediaan SOP, keselamatan dan kebajikan.

Depot tersebut telah disahkan terdapat kluster jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan.

Norhisham berkata, KPISM yang memandang serius keselamatan dan kesihatan pegawai imigresen yang bertugas di seluruh negara termasuk di depot, meminta kerajaan mewujudkan satu klinik medan di depot Imigresen terbabit untuk rujukan dan nasihat keselamatan dan kesihatan oleh pegawai jabatan itu.

Selain itu, penyediaan peralatan keselamatan nyah jangkitan dan bekalan PPE perlulah mencukupi untuk kegunaan pegawai yang bertugas, tambahnya. – MalaysiaGazette