Logo Tahun Melawat Malaysia 2020

Oleh: Prof. Madya Dr. Zurina Kefeli @ Zulkefli

COVID-19 telah merencatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan krisis kesihatan paling mencabar dalam sejarah dunia. Akibat perintah kawalan pergerakan keluar dan masuk ke
dalam negara sama ada secara penuh (contohnya Australia, New Zealand, Filipina, Arab Saudi) atau separa (contohnya Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada) sektor ekonomi yang paling terkesan adalah sektor pelancongan. Sehingga Mac 2020, Covid-19 telah menyebabkan jumlah kerugian hampir RM10 bilion kepada negara.

Secara umumnya, sektor pelancongan di Malaysia telah mendapat pengiktirafan dunia oleh pelbagai pihak. Dalam industri  pelancongan kesihatan pula, Malaysia muncul sebagai No.1
World’s Best Healthcare pada tahun 2019 dan Four Countries with the Best Healthcare in the World pada tahun 2017 oleh  International Living. Data dari Malaysia Healthcare Travel
Council (MHTC) menunjukkan pada tahun 2019, 3.6% daripada keseluruhan jumlah pelancong ke Malaysia adalah untuk tujuan kesihatan. Walaupun peratusan ini nampak kecil, jumlah pelancong kesihatan sentiasa meningkat setiap tahun. Pada tahun 2018, jumlah pelancong kesihatan adalah berjumlah 1.2 juta orang dan pulangan pendapatan kepada negara adalah sebanyak RM1.5 billion.

Walaupun negara mengalami kerugian besar kesan pandemik ini, namun pasca Covid-19 akan menyaksikan landskap ekonomi yang berbeza. Malaysia antara negara contoh yang telah berjaya menangani krisis Covid-19 dengan sebaik-baiknya. Reputasi Malaysia di mata dunia sebagai negara yang mempunyai sistem dan kepakaran kesihatan terbaik di dunia akan terus kekal dan mungkin bertambah baik selepas era pandemik ini berakhir. Keadaan ini disokong oleh pengiktirafan dunia kepada Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. China Global TV Network (CGTN) menamakan Datuk Dr. Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik dunia berdasarkan kewibawaan beliau dalam menangani krisis Covid-19 di Malaysia.

Selain itu, persepsi dan kepekaan masyarakat dunia terhadap kepentingan kesihatan juga akan turut menyumbang kepada permintaan terhadap perkhidmatan industri pelancongan
kesihatan yang lebih tinggi. Sektor pelancongan kesihatan seharusnya mengambil peluang dari keyakinan tinggi negara luar ke atas kualiti sistem kesihatan negara yang bertaraf dunia. Ketika ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Recovery Action Council (TRAC) sedang giat merangka strategi bagi mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara kesan daripada Covid-19. Bagi industri
pelancongan kesihatan pula pihak MHTC akan merangka strategi dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelancong.

Walaupun program Tahun Melawat Malaysia 2020 terpaksa dibatalkan, MHTC perlu mencari inisiatif lain dalam mempromosikan pelancongan kesihatan Malaysia kepada
negara luar. Program promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong perlu dipergiatkan dan lebih berfokus ke negara-negara yang berpotensi sebagai pembekal pelancong kesihatan seperti Indonesia, Singapura, China, India, Vietnam dan Myanmar. Adaptasi dan aplikasi teknologi perubatan yang lebih kehadapan berbanding negara lain antara faktor yang menarik pelancong untuk datang ke Malaysia. Antara rawatan popular yang menjadi pilihan pelancong adalah seperti kesuburan, kardiologi, pergigian, kosmetik, ortopedik dan onkologi.

Dalam memastikan kelestarian industri pelancongan kesihatan, pasca Covid-19 memerlukan pihak kerajaan membina keupayaan persekitaran negara yang kondusif, bersih dan selamat untuk pelancong, infrastruktur yang moden, kos perkhidmatan yang kekal kompetitif serta sumber tenaga yang terlatih dan mencukupi.

Dalam membantu usaha kerajaan, kerjasama rakyat Malaysia untuk mempromosikan pelancongan kesihatan kepada kenalan di luar negara juga adalah penting. Rakyat Malaysia perlu berganding bahu mempromosikan perkhidmatan pelancongan kesihatan yang ada di Malaysia dengan membuat perkongsian di media sosial. Kisah-kisah kejayaan hasil rawatan para kenalan dari negara luar boleh turut dikongsikan melalui konsep word of mouth agar pihak luar peka dengan perkhidmatan terbaik yang diterima oleh pelancong di negara ini.

Kesimpulannya, walaupun secara umumnya sektor pelancongan terjejas teruk akibat krisis Covid-19, potensi industri pelancongan kesihatan era pasca Covid-19 menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Kerjasama antara kementerian, agensi yang berkaitan, penyedia perkhidmatan sama ada awam atau swasta serta masyarakat Malaysia perlu diperkukuhkan lagi dalam membantu melonjakkan kembali ekonomi negara. Sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir, Malaysia pastinya telah bersedia untuk menerima limpahan pelancong kesihatan dari serata dunia.

Penulis merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)