JOHOR BAHRU – Pengerusi Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Maszlee Malik menerima anugerah Sitara-i-Quaid-i-Azam daripada kerajaan Pakistan baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau dalam memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Pakistan.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan merakamkan penghargaan dan kesyukuran terhadap penganugerahan tersebut yang disifatkan amat bermakna.
“Saya menerima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati penganugerahan Sitara-i-Quaid-iAzam oleh kerajaan Pakistan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh hubungan persahabatan yang telah sekian lama terjalin di antara Malaysia dan Pakistan.
“Saya melihatnya bukan sekadar sebagai pengiktirafan peribadi tetapi sebagai penghargaan terhadap hubungan erat di antara kedua-dua negara dan rakyat yang berkongsi sejarah persahabatan, nilai serta aspirasi yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan menikmati hubungan akrab sejak sekian lama merangkumi bidang diplomasi, pendidikan, ekonomi, kebudayaan serta hubungan di antara rakyat.
Mazlee percaya hubungan itu mempunyai ruang amat luas untuk terus diperkukuh khususnya melalui pertukaran ilmu, pendidikan, dialog antara tamadun dan kerjasama institusi.
Justeru, katanya, IAIS Malaysia bertekad akan terus berusaha memperluaskan jaringan kerjasama dan dialog yang dapat mendekatkan kedua-dua negara di samping menyumbang kepada keamanan, persefahaman serta kemajuan bersama-sama.
“Sekali lagi, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Pakistan atas penghormatan yang amat bermakna ini serta kepada semua pihak di Malaysia dan Pakistan yang selama ini bersama-sama menjayakan usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
“Semoga persahabatan Malaysia-Pakistan terus berkembang dan membawa manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara tetapi juga kepada rantau ini dan seantero dunia,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















