Wee Ka Siong

KIALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan berikrar untuk memuktamadkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

Ia susulan peningkatan kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, beliau sudah pun meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas akta itu semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.

”Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan akta berkaitan.

”Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya yang sangat sedih dengan berita kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk.

Tegasnya, beliau komited dalam memuktamadkan pindaan akta itu demi memberi pembelaan kepada mangsa korban kemalangan maut dan menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

Dalam kenyataan sebelum ini, Ka Siong berkata, kementerian itu memandang serius isu tersebut dan meminta pihak JPJ untuk meneliti semula Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berhubung perkara ini.

”Akta ini akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain ini dapat dikenakan hukuman yang lebih berat sekaligus memberi kesedaran dan pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Pada masa yang sama, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan masing-masing juga akan diteliti semula.

Pada ketika ini, mengikut Seksyen 44 (1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah yang menyebabkan kematian atau kecederaan hanya dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000. – MalaysiaGazette

Lelaki maut dirempuh pemandu lawan arus dipercayai mabuk