Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak pihak-pihak yang menuduhnya sebagai penakut dan tidak yakin kepada qadha dan qadar Allah apabila beliau menerima baik pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Pelaksanaan perintah itu turut menyebabkan sidang Parlimen yang bermula 18 Mei lalu dipendekkan.

Presiden Pas itu berkata, sekalipun beliau tidak mempunyai ilmu perubatan tetapi percaya kepada pakar perubatan yang memberi amaran dalam menghadapi wabak Covid-19 menerusi beberapa arahan.

”Saya tetap menerima arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan mereka, walaupun orang tuduh saya penakut dan tidak yakin kepada qadha’ dan qadar Allah SWT.

”Khalifah Umar bin al-Khattab RA juga pernah dituduh sebegitu apabila membatalkan lawatannya ke Syam ketika dilanda wabak taun amwas yang masyhur di dalam sejarah. Tindakan Saidina Umar RA menetapkan kuarantin bagi menjaga nyawa yang menjadi kewajipan. Bahkan menjadi dosa paling besar membunuh diri dan membunuh orang lain tanpa sebarang kesalahan yang wajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Secara sinis, Abdul Hadi berkata, tindakan pembangkang yang mendukung demokrasi yang berteraskan perjuangan Greek Purba apabila melaungkan slogan dalam bahasa Latin iaitu vox populi, vox dei (suara rakyat suara tuhan) atau diubah suai pula kepada Bahasa Melayu dengan slogan “suara rakyat suara keramat” menarik perhatiannya.

Katanya, walaupun rakyat tertipu dengan media upahan yang beroperasi tanpa batas sempadan yang disalah gunakan keramatnya, demi mencapai kemenangan di atas pentas demokrasi.

Malangnya, kata beliau, walaupun kemenangan dicapai itu rapuh dan mentah, laksana mengait buah durian kerana tidak sabar menunggu sehingga masak dan matang.

“…maka gugurlah dalam keadaan mentah yang ditolak oleh tupai dan kera, apatah lagi manusia. Malangnya mereka berkelahi untuk membuka buah yang gugur itu dan memarahi orang lain kerana buahnya yang masih mentah.

”Beginilah nasib negara ketika PRU-14 dan pascanya sehingga negara terpaksa diselamatkan kerana mentahnya kemenangan yang tidak berkesudahan dengan krisis yang berlaku dan menyusahkan rakyat,” menurut Abdul Hadi lagi.

Tegasnya, langkah menyelamatkan negara yang diambil dengan cara yang baik telah bertambah berat tanggungjawabnya akibat wabak Covid-19 yang menimpa seluruh dunia.

”Jadilah kita semua laksana dalam satu bahtera, kalau terus dibiarkan akan tenggelam, termasuk mereka yang tidak bersetuju disegerakan. Jika ditangguhkan langkah menyelamatkan negara kerana mengikut kemahuan demokrasi yang bernafsu itu, Allah SWT sahaja yang mengetahui apa akan terjadi,” ujarnya.

Jelasnya, seluruh dunia dalam keadaan darurat wabak Covid-19 dan setiap negara melihat menjaga nyawa manusia dalam menghadapi bahaya wabak Covid-19 diutamakan daripada segala perkara yang lain.

”Walaupun ada orang menyebutkan seakan kerajaan seperti penakut kerana Sidang Parlimen dipendekkan walaupun tidak membatalkannya.

”Juga dipersoalkan mengapa tidak dilantik Timbalan Perdana Menteri dan persoalan-persoalan lain seterusnya. Ini kerana terlalu tinggi menggunung semangat demokrasi mereka melebihi daripada demokrasi Greek Purba,” tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya pihak-pihak berkenaan jangan menjadi seperti Presiden Amerika Syarikat yang memperlihatkan keberanian melulu dalam menghadapi Covid-19.

“Apabila kepentingan ekonomi lebih diutamakan daripada kepentingan yang lain sehingga laksana semut mati dalam gula atau tikus makan apa sahaja walaupun diletakkan racun. Ini menjadikan negara kuasa besar itu menanggung akibat yang sangat parah dengan jumlah mangsa dan angka kematiannya,” ujarnya penuh makna. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.