Premis perniagaan yang mahu melakukan operasi sanitasi sendiri sebelum memulakan operasi perlu mengikut garis panduan KKM.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Premis perniagaan yang mahu melakukan operasi sanitasi sendiri sebelum memulakan operasi perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat garis panduan yang telah disediakan termasuk mengenai jenis bahan kimia yang sesuai dan lulus untuk tujuan sanitasi.

“Ia bukan seperti proses pembersihan pejabat seperti biasa sebaliknya memerlukan bahan kimia dan proses yang sesuai yang dapat menyah-cemar kuman.

“Tidak kiralah siapa pun yang akan melakukan sanitasi tersebut tetapi ia perlulah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Ketika ditanya mengenai juruauditor yang diarahkan oleh majikannya untuk merentas negeri bagi melakukan audit, Ismail Sabri menegaskan, kerja-kerja audit tidak termasuk dalam kategori kecemasan.

Kerajaan jelasnya, masih menguatkuasakan larangan rentas negeri sama seperti yang telah diumumka

“Sebelum ini kerajaan membenarkan rentas negeri untuk kes-kes kecemasan yang melibatkan ahli keluarga terdekat.

“Tetapi beberapa hari sebelum Aidilfitri yang lalu, pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan.

“Dengan itu, juruaudit juga tidak dibenarkan merentas negeri kerana kerja-kerja audit tidak termasuk dalam kategori kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 824 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis semalam, meningkat berbanding 738 hari sebelumnya.

Selangor kekal merekodkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi dengan 284 kenderaan diikuti Kedah (122) dan Melaka (113).- MalaysiaGazette