Suasana lokasi kemalangan yang mengakibatkan seorang anggota polis maut dilanggar pemandu mabuk berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan pada 3 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Menteri Pengangkutan supaya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mengenakan hukuman keras dan lesen memandu pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam digantung seumur hidup.

Malah, sebagai langkah jangka pendek dan segera, Pemuda UMNO turut mendesak agar cadangan pindaan akta itu dibawa sebagai salah satu usul utama selepas Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja dalam Sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 13 Julai ini.

Ia kerana, kemalangan yang diakibatkan oleh pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Asyraf Wajdi Dusuki

Menurutnya, walaupun hukuman di bawah Akta 333 telah dipinda seperti di atas pada tahun 1999 namun perkembangan mutakhir jelas menunjukkan ia tidak sedikitpun menggerunkan pemandu mabuk bahkan dianggap ringan dan tidak setimpal dengan kehilangan nyawa dan tempat bergantung yang dialami oleh kaum keluarga mangsa.

Seksyen 44(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan bahawa pesalah di kalangan pemandu mabuk jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih dari RM20,000.

”Untuk langkah jangka panjang, sudah tiba masanya pihak kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuklah mengisi kelompongan perundangan dengan memperkenalkan akta dalam mengawal selia dengan tegas aspek penjualan dan pengambilan minuman keras di peringkat Persekutuan.

”Ketiadaan undang-undang khusus di peringkat Persekutuan untuk mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras, melainkan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pasti menyulitkan penguatkuasaan dan pencegahan yang menyeluruh dan seragam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf menambah, pengalaman negara lain termasuk larangan pengambilan minuman keras selepas jam 10.30 malam seperti di beberapa negara maju termasuk Singapura boleh dijadikan contoh dalam mengawal gejala ini.

Justeru, Pemuda UMNO mencadangkan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kesihatan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menilai seterusnya menggubal undang-undang baru bagi mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras.

Ini termasuklah menggandakan program kesedaran dan pendidikan mengenai pengambilan minuman keras yang boleh memudaratkan diri dan masyarakat di negara ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. AKIBAT memandu di bawah pengaruh alkohol seorang pengawal keselamatan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol September tahun lalu.

    Alahai! undang2 cap ayam ke apa ni?

Comments are closed.