Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow

Pihak kerajaan perlu memperkenalkan satu bentuk ujian
ketat khusus untuk ketahui tahap kewarasan mental dan
tahap kawalan emosi seseorang sebelum sebarang jenis
lesen memandu diberikan kepada mereka. Cadangan ujian
ketat berkenaan bukan sahaja dihadkan kepada bakal pemandu malah perlu dilaksanakan terhadap semua pemandu sedia ada dalam negara. Cadangan ujian ketat terbabit perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak berada atas jalan raya dalam negara kita. Ini susulan peningkatan laporan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dalam negara kita semenjak kebelakangan ini sehingga menyebabkan
kecederaan kepada orang awam dan kemalangan maut
pada pemandu lain.

Cadangan ujian ketat terhadap perkara ini bukan sahaja
bagi membendung pemandu yang ada masalah ketagihan
terhadap alkohol yang boleh menjejaskan tumpuan pemanduan mereka malah juga bagi membendung individu-individu yang menghadapi masalah yang hampir sama sehingga boleh menjejaskan tahap tumpuan mereka ketika memandu seperti masalah ketagihan dadah serta ketagihan terhadap benda-benda lain yang boleh menjejaskan tahap tumpuan pemanduan mereka dijalan raya. Cadangan ujian ketat ini juga adalah penting bagi membendung individu yang berpotensi untuk melakukan kesalahan jenayah jalan raya yang lain seperti pemanduan cuai serta pemandu yang buli di jalan raya.

Selain daripada menguji tahap kemahiran seseorang itu untuk memandu sebarang jenis kenderaan, mereka juga harus diuji dari aspek kewarasan minda serta kawalan emosi mereka. Sebarang jenis lesen pemanduan tidak sepatutnya diberikan kepada mana- mana pihak yang didapati tidak memiliki tahap kewarasan atau tahap kawalan emosi kerana mereka memiliki risiko untuk membahayakan bukan sahaja diri mereka malah turut berisiko membahaya diri orang lain. Seseorang itu memerlukan satu tahap pemikiran dan emosi yang stabil serta tumpuan penuh ketika berada di atas jalan raya. Sekiranya seseorang itu mengalami masalah ketagihan terhadap sesuatu bahan yang boleh menjejaskan tahap kewarasan otak, kawalan emosi serta tumpuan pemanduan mereka, mereka tidak seharusnya diberikan
sebarang jenis lesen pemanduan.

Oleh yang demikian, adalah ingin dicadangkan supaya pihak
kerajaan menyemak semula peruntukkan undang-undang
yang berkaitan dengan aspek pemberian lesen pemanduan
dan jalan raya yang ada dalam negara kita bagi memastikan
cadangan diatas ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Antara peruntukkan undang – undang yang perlu dilihat dan
dinilai semula adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta
333]. Pindaan perlu dilakukan terhadap Akta Pengangkutan
Jalan 1987 [Akta 333] supaya setiap jenis lesen pemanduan
yang ingin dikeluarkan dapat diberikan kepada mereka yang
betul – betul layak untuk memilikinya dari segi mental dan
emosi dan bukan sahaja mereka yang ada kemahiran untuk
bawa kereta serta tahu untuk tukar tayar. Pihak berkuasa yang berkaitan khusus pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus memastikan hanya mereka yang memiliki tahap kewarasan minda dan tahap psikologi atau emosi yang stabil berhak untuk diberi sebarang lesen pemanduan jalan raya.

Pihak kerajaan boleh melihat kembali kepada beberapa
peruntukkan sedia ada di dalam Akta Pengangkutan Jalan
1987 [Akta 333] terbabit seperti Seksyen 29 yang mensyaratkan ujian kekompetenan memandu, Seksyen 30 yang menyediakan peruntukkan mengenai kesihatan jasmani bagi pemohon lesen memandu, Seksyen 39 yang mengenakan sekatan pemanduan pihak bawah umur dan lain-lain peruntukkan undang-undang lagi bagi melaksanakan sepenuhnya cadangan ujian ketat ini dalam
negara kita. Pihak yang ingin memiliki lesen pemanduan perlu
menjalankan beberapa ujian kompetensi yang lebih ketat
lagi bagi memastikan setiap bakal pemandu memiliki tahap
kewarasan minda yang bersesuaian serta kestabilan psikologi atau emosi sebagai seorang pemandu sebelum mereka diberi sebarang lesen pemanduan kenderaan.

Proses pemeriksaan ini perlu dilakukan oleh mereka yang
benar-benar pakar dalam bidang berkenaan. Pemeriksaan
teliti dan lebih ketat terhadap latar belakang setiap bakal pemandu perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka yang
benar – benar layak memiliki sebarang lesen pemanduan
kenderaan. Cadangan ujian ketat ini juga perlu dilakukan
terhadap semua pemandu yang sudah memiliki lesen pemanduan dalam negara kita. Cadangan ujian ketat ini juga perlu dilakukan secara kerap seperti setahun sekali bagi memastikan tahap kewarasan otak dan emosi setiap pemandu yang ada dalam negara kita berada dalam keadaan baik. Walaupun cadangan yang diberikan bakal memberi beban kepada para pemandu dalam negara kita dimasa akan datang, namun ianya harus dilihat secara positif bagi memastikan setiap pemandu dalam negara kita
adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak
untuk berada di atas jalan raya dan mereka yang menjaga
keselamatan diri mereka sendiri serta mementingkan keselamatan orang sekeliling.

Muzaffar

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)