ASNB

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memandang serius penyebaran mesej palsu menerusi WhatsApp baru-baru ini yang menawarkan pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam masa singkat.

Dalam mesej berkenaan, penghantar mendakwa dia mewakili ASNB Group dan menggunakan nama dan logo syarikat ASNB tanpa kebenaran.

Modus operandi pelaburan palsu ini ialah sekiranya penerima berminat untuk melabur, mereka hanya perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang dinyatakan menerusi mesej berkenaan secara dalam talian.

Wang itu kononnya akan didagangkan ke dalam sektor minyak, pasaran saham dan mata wang, dan pelabur hanya perlu menunggu keuntungan dimasukkan terus ke dalam akaun mereka.

ASNB berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku dan sudah pun membuat satu laporan polis mengenai mesej berkenaan.

Sehubungan itu, ASNB menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan terus menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB untuk membuat aduan sekiranya menerima mesej meragukan mengenai pelaburan menggunakan nama ASNB.

Katanya, ASNB adalah syarikat yang menawarkan unit amanah dan tidak pernah melantik mana-mana individu untuk menawarkan sebarang pakej pelaburan sama ada secara langsung atau menerusi kemudahanWhatsApp mahupun mana-mana aplikasi mesej yang lain.

ASNB juga tidak pernah menggunakan nama ASNB Group dalam sebarang aktiviti promosi dan publisiti produk.

Orang ramai yang ingin memulakan pelaburan dalam unit amanah ASNB perlu terlebih dahulu mengunjungi cawangan ASNB atau ejen untuk membuka akaun pelaburan dengan membawa bersama dokumen pengenalan diri yang asal.

Pelaburan tambahan secara dalam talian pula hanya boleh dilakukan menerusi portal dan aplikasi mudah alih myASNB, dan perbankan Internet ejen berdaftar kami seperti Maybank2u, CIMBClicks, RHB Now dan AffinOnLine.

Tambahnya, ASNB tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian akibat pelaburan dalam sebarang skim pelaburan yang tidak mempunyai kaitan dengan ASNB.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai dinasihati untuk menghubungi terus Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-77308899 atau layari www.asnb.com.my, atau emelkan ke [email protected].

Sebarang urus niaga pelaburan untuk unit-unit amanah ASNB boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan ASNB dan ejen kami seluruh negara. – MalaysiaGazette