Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang video hari ini.

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini merangka ‘jalan keluar’ dalam krisis Covid-19 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh ditamatkan.

Ia antara topik yang dibincangkan bersama Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah melalui sidang video selama 40 minit hari ini.

Menurut Muhyiddin, dalam perbicangan yang sama, antara yang dicadangkan melalui sidang video itu juga adalah kempen menggalakkan pemimpin masyarakat memperkasa komuniti masing-masing untuk mengambil tanggung jawab melindungi komuniti daripada jangkitan Covid-19.

“Saya percaya kempen ini dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi dan akhirnya akan meringankan beban petugas-petugas barisan hadapan.

“Langkah ini juga sangat penting dalam merangka exit plan bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang juga merupakan kriteria terakhir yang mesti dipenuhi sebelum PKPB boleh ditamatkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, Muhyiddin turut mengarahkan proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disahkan negatif Covid-19 disegerakan.

Ini adalah bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan yang berada di depoh imigresen.

Muhyiddin yang ketika ini terpaksa dikuarantin di rumah selama 14 hari menzahirkan rasa puas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi Covid-19.

Tambahnya, sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasa dan mengambil tanggung jawab menjaga komuniti masing-masing, Malaysia mampu menamatkan penularan wabak Covid-19.- MalaysiaGazette