Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2019.

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Berhad (FGV) merekodkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM163 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu disebabkan penurunan pendapatan sebanyak 15 peratus kepada RM2.78 bilion.

Prestasi lemah itu didorong oleh beberapa faktor terutamanya penurunan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam tempoh berkenaan serta kemerosotan margin dalam sektor minyak sawit dan gula.

Pada suku pertama tahun lepas, FGV merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM23.4 juta dengan pendapatan sebanyak RM3.3 bilion.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Haris Fadzillah Hassan berkata, prestasi separuh kedua tahun ini dijangka lebih baik dengan jangkaan cuaca yang lebih baik.

Ini kerana penurunan pengeluaran BTS pada suku pertama tahun ini adalah disebabkan terutamanya oleh impak cuaca kering terutamanya di Sabah.

“Walaupun separuh pertama 2020 memberikan cabaran yang hebat kepada kumpulan namun kami menjangkakan situasi yang lebih baik pada separuh kedua bagi pengeluaran BTS dan prestasi keseluruhan.

“Dengan perdagangan India yang disambung semula serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan sedikit, jualan dijangka meningkat selari dengan pengeluaran yang mana impak kemarau dan penyesuaian baja pada 2019 sudah habis pada separuh kedua 2020,” katanya.

Tambah Haris Fadzillah, FGV telah berjaya mendapatkan jualan bagi penghantaran Jun dan Julai di India yang mana merupakan pembeli minyak sawit mentah terbesar.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.