Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Cadangan Parti Islam SeMalaysia (Pas) supaya kerajaan pusat menggantung semua aktiviti berkaitan dengan pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak bagi membendung masalah pemandu mabuk tiada kena-mengena dengan agama mahupun kaum.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan, sebaliknya cadangan Pas itu lebih kepada mahu memelihara kepentingan nyawa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemandu mabuk hingga menyebabkan banyak kematian.

“Ada yang kata gantung jualan arak kerana kemalangan melibatkan pemandu mabuk tidak hormat agama lain. Ini bukan isu agama, tidak nampak ke ramai yang mati kena langgar?

“Ini isu keselamatan. Kenapa tidak hormat kepada nyawa manusia? Adakah nyawa manusia tidak ada nilai kepada kamu? Bukan orang Islam saja boleh mati kena langgar, orang bukan Islam pun boleh mati kena langgar.

“Orang bukan Islam boleh minum tapi perketatkan undang-undang dahulu untuk keselamatan semua bangsa dan agama,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, cadangan Pas termasuk mengharamkan penjualan minuman beralkohol di semua kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim.

Menurut Siti Kasim dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, alkohol bukan satu masalah, sebaliknya peminum yang tidak bertanggungjawab punca masalah sebenar kepada masalah pemandu mabuk.

Kesal dengan cadangan Pas itu, Siti Kasim pula mencabar Pas untuk mengharamkan sekolah tahfiz yang menyebabkan anak-anak kecil tidak berdosa menjadi mangsa kepada pihak pengurusan sekolah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.