Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)

KUALA LUMPUR – Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Selisik terpaksa dihenti tugas malam tadi ekoran kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki dengan muatan minyak diesel di Kilometer 389.5 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) memaklumkan, akibat kemalangan dengan sebuah van keselamatan itu berlaku tumpahan minyak dari lori tangki terbabit yang melimpah hingga ke Sungai Siah, Perak.

“Operasi LPA Sungai Selisik dihentikan jam 11.45 malam tadi. Kerja penyedutan sisa minyak terpaksa dihentikan sementara sekitar 4.50 pagi berikutan keadaan gelap dan pembersihan sukar dibuat,” kata Luas menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Luas lagi, susulan insiden itu pihaknya mengaktifkan kod kuning Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi membolehkan siasatan menyeluruh di kawasan terlibat iaitu pada jarak 2.7 kilometer di bahagian hilir, selain pemasangan perangkap minyak di bahagian aliran terjejas bagi mengawal aliran mengalir ke Sungai Bernam.

Katanya, Luas bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menjalankan persampelan dan siasatan berkaitan bermula dari ladang kelapa sawit berhampiran lokasi sehingga ke Sungai Kelawar dan Sungai Bernam manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dengan melantik kontraktor bagi menyedut baki minyak di kawasan bertakung.

Kemalangan berhampiran Behrang itu mengakibatkan seorang maut manakala dua lagi cedera selain kesesakan teruk di kedua-dua arah. – MalaysiaGazette