Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Datuk Khairil Anuar Aziz.

KUALA LUMPUR- MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM34.7 juta bagi suku pertama 2020 berbanding kerugian sebanyak RM7.06 juta pada tempoh sama tahun lepas walaupun mencatatkan peningkatan hasil keseluruhan sebanyak lima peratus kepada RM510.84 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

Prestasi lemah tersebut sebahagian besarnya didorong oleh kos kewangan yang tinggi sebanyak RM7.54 juta serta susut nilai sebanyak RM8.6 juta susulan daripada pengkomersilan MSM Sugar Refinery Sdn. Bhd. (MSM Johor pada April 2019).

Kos-kos tersebut telah dimodalkan pada S1 2019 memandangkan kilang baru masih dalam peringkat ujian dan permulaan.

Di samping itu, terdapat juga peruntukan sebanyak RM7.48 juta bagi peningkatan kos operasi di MSM Johor berikutan kadar penggunaan yang rendah serta peruntukan sekali bayar (one-off) sebanyak RM5.38 juta untuk pelaksanaan rasionalisasi operasi.

“Peningkatan dalam hasil tersebut adalah selaras dengan strategi pertumbuhan mampan Kumpulan yang melibatkan kepelbagaian produk bagi menembusi pasaran-pasaran eksport serta pertukaran strategi yang mensasarkan peningkatan margin dengan menaikkan purata harga jualan gula bertapis,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz dalam satu kenyataan.

Walaupun ringgit menyusut, MSM merekodkan kos purata gula mentah yang lebih rendah sebanyak 8.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas susulan harga purata NY#11 yang rendah dan pengurangan sebanyak 30 peratus dalam jumlah gula mentah yang dibeli sejajar dengan pelaksanaan mekanisme “Tepat Pada Masa” pada Januari 2020 bagi mengoptimumkan bekalan gula mentah.

Menurut Khairil Anuar, MSM mensasarkan jualan domestik akan pulih selari dengan pelepasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat dan jangkaan peningkatan dalam permintaan sepanjang musim perayaan.

Bagaimanapun katanya, MSM akan kekal waspada dengan situasi semasa yang berkait rapat dengan ketidaktentuan matawang akibat daripada kekangan COVID-19, persekitaran ekonomi global dan hubungan diplomatik di antara Amerika Syarikat dan China.- MalaysiaGazette