Veeran

KUALA LUMPUR – Sampai bila kita terus berkompromi isu pemandu mabuk yang ‘terlepas’ dengan hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan olehnya?

Rata-rata pemandu mabuk yang dihadapkan ke mahkamah tanpa segan-silu mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan.

”Apa pula nasib yang menjadi mangsa? Keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang kerana golongan tidak bertanggungjawab ini,” soal Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy.

Bercakap kepada MalaysiaGazette Veeran berkata, beliau hilang kata-kata dengan insiden-insiden kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

“Yang mati pula selalunya mangsa yang tidak bersalah. Yang mabuk ini pula terlepas dengan calar sikit-sikit. Apakah ini adil?

“Pemandu mabuk langsung tidak gerun mahupun rasa sesal dengan setiap kejadian. Ini semua kerana pada hukuman yang ada tidaklah begitu menakutkan.

“Pesalah boleh sahaja ‘membunuh’ kerana tidak dikenakan hukuman penjara seumur hidup mahupun hukuman gantung.

“Sehingga ke satu peringkat, insiden maut akibat pemandu mabuk tidak memberi pengajaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan meneliti semula undang-undang sedia ada.

Untuk menanganinya, pesalah perlu dikenakan hukuman setimpal bagi mengelakkan ia menjadi parah.

 

Seorang pemandu kereta maut manakala tiga penunggang dan seorang pembonceng motosikal cedera selepas mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, secara melawan arus di kilometer 17.5 Lebuhraya Lekas, pada 16 Februari lalu.

Veeran mencadangkan supaya pemandu mabuk  digantung lesen seumur hidup bagi memberi peringatan keras kepada semua pemandu di seluruh negara.

Jelasnya, tempoh penjara yang dicadangkan ialah sehingga 20 tahun, selain kadar denda tinggi yang dikenakan supaya memberi peringatan keras kepada semua pemandu lain.

“Buatlah sesuatu yang menggerunkan, nyawa yang terkorban itu tidak akan kembali, laksana satu undang-undang yang akan memastikan kesalahan seumpama ini tidak lagi berulang,” ujar beliau.

Veeran berkata, kerajaan perlu meminda dan gubal undang-undang serta kuatkuasa tindakan paling tegas bagi membuktikan kepada rakyat ia mampu  menyelesaikan isu ‘lapuk’ ini

Ketika ini, individu yang didapati memandu dalam pengaruh alkohol akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan berbahaya yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda tidak lebih RM20,000.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sepanjang tempoh 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. –MalaysiaGazette

Kenakan hukuman lebih berat, restoratif kepada pemandu mabuk – Pembela

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dimuktamadkan bulan depan