Sebahagian jemaah mengaminkan doa ketika solat Jumaat selepas kerajaan membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020

Saya masuk ke sebuah pasar raya.
Di pintu masuk saya diperiksa suhu oleh pengawal keselamatan.
Saya dibenarkan masuk apabila takat suhu saya normal.
Saya diberikan hand sanitizer untuk mencuci tangan.

Apabila masuk, pengawal mengira kemasukkan saya.
Saya melihat dia menyelak nombor ke hadapan, apabila ada pelanggan yang keluar saya melihat dia menyelak nombor ke belakang.
Semacam score board manual dalam pertandingan sukan.

Apabila saya bertanyakan pengawal, dia memberitahu bahawa had pelanggan yang boleh berada di dalam pasaraya pada satu satu masa ialah 100 orang.

Bila saya masuk, jika tidak silap saya, pengawal menyelak nombor 85, bermaksud seramai 15 pelanggan boleh masuk.

Apabila seorang pelanggan keluar, dia menyelak ke belakang, menjadi nombor 84, bermaksud seramai 16 orang dibenarkan masuk.

Cukup mudah dan sangat efisien.

Saya jarang membantah dasar dibuat oleh pemerintah, cuma saya terfikir tidaklah golongan alim ulamak dan pemerintah boleh mempraktikkan sistem ini terutama di masjid bagi solat Jumaat.

Mencukupkan bilangan jemaah seramai 40 orang adalah rukun bagi solat Jumaat.

Bila cukup 40 jemaah, tidak ada lagi jemaah dibenarkan masuk.

Terawal 40 dibenarkan masuk. ‘First come basis’.

Buka hanya satu pintu utama untuk para jemaah masuk.

Untuk masuk ke masjid, disediakan hand sanitizer untuk para jemaah dan buat pemeriksaan suhu badan mereka.

Dengan keluasan majoriti masjid, bukan setakat 1 meter jarak sosial, malah jarak 10 meter sesama jemaah boleh dipraktikkan.

Tidak perlu bersalaman, selesai solat terus pulang.

Kalau pasar raya boleh menerima pengunjung setiap hari, kenapa masjid dihalang untuk dikunjungi seminggu sekali.

Dengan dana masjid yang ada, tidak sukar membayar perkhidmatan RELA bagi memastikan peraturan dipenuhi.

Tidak sukar juga untuk mendapatkan bantuan anggota keselamatan bagi memastikan peraturan ini dipatuhi.

Secara peribadi, saya merasakan telah berdosa besar kepada tuhan apabila gagal melaksanakan tanggungjawab fardu ini sebanyak 11 kali.

Semoga Allah mengampuni dosa dosa kita semua.

Maaf, mungkin pendapat saya tidak dipersetujui oleh rakan rakan.

Mungkin perbandingan antara masjid dan pasaraya tidak sesuai. Yang pasti pasar raya, pejabat, kilang, mahkamah dan banyak lagi premis sudah dibuka dan boleh beroperasi.

Sudah lama saya pendamkan perasaan tidak puas hati saya ini. Saya percaya bila kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita.

Saya meraikan perbezaan pendapat antara kita cuma berharap ia dipertimbangkan oleh pihak berwajib.

Dr Norzaidi Zakaria, Biro Penerangan Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim)

1 Komen

Comments are closed.