Sebahagian orang awam menaiki LRT ke tempat kerja pada hari kelima perayaan Aidilfitri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Hari kelima Syawal semakin ramai warga kota kembali bekerja dalam suasana norma baharu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa sehingga 9 Jun ini bagi membendung membendung jangkitan wabak Covid-19.

Sambutan Aidilfitri kali ini diraikan dalam suasana yang amat berbeza berikutan keputusan kerajaan melarang pergerakan rentas negeri selain pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ziarah hari raya yang dihadkan pada hari raya pertama sahaja.

Krew MalaysiaGazette membuat tinjauan di sekitar ibu kota dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan KL Sentral – Pasar Seni – Masjid Jamek – Dang Wangi – Kampung Baru – Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Para penumpang diperiksa suhu badan sebelum menaiki LRT pada hari kelima perayaan Aidilfitri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

Tinjauan mendapati suasana di dalam LRT tenang dan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkanĀ  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan penuh tanggungjawab tanpa gagal.

Masing-masing mengamalkan penjarakan sosial baik ketika beratur mahupun semasa berada di dalam koc dengan masing-masing memastikan berada pada jarak sekurang-kurangnya satu meter.

Orang ramai mengamalkan penjarakan sosial ketika menunggu LRT ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, para penjawat awam yang ‘terlepas’ pulang ke kampung halaman diarah kembali bekerja dan mereka perlu menanggung kesalahan yang telah dilakukan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib telah mengeluarkan kenyataan bahawa penjawat awam yang gagal bertugas selepas cuti hari raya Aidilfitri akan dikenakan tindakan tatatertib. – MalaysiaGazette