Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Mana-mana rumah ibadat termasuk kuil jika dikesan merancang dan melangsungkan perkahwinan secara tersembunyi dan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berdepan dengan tindakan tegas.

Ini kerana pasukan pemantau khas polis seramai 189 pegawai dan anggota memantau 24 jam pergerakan dan aktiviti rumah rumah ibadat di ibu negara yang melanggar PKPB.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak rumah ibadat di ibu negara yang melangsungkan perkahwinan atau sebarang majlis melibatkan orang ramai berkumpul yang dilarang di bawah PKPB yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Seramai 189 pasukan pemantau kami bekerja 24 jam mengejar masa membuat rondaan dan memantau rumah-rumah ibadat pusat-pusat hiburan dan sebagainya.

“Untuk rumah ibadat di KL, kita polis tak keluarkan permit untuk melangsungkan sebarang perkahwinan atau majlis jemputan kahwinan di rumah ibadat dan lain-lain.

“Yang merancang perkahwinan di kuil atau di mana-mana atau perjumpaan orang ramai polis tidak membenarkan dan sila lupakan hasrat anda.

“Jika masih degil dan cabar kami, tindakan tegas akan menyusul (rumah ibadat dan keluarga anjur kahwinan) langsungkan perkahwinan di rumah ibadat atau mana-mana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Sekatan Jalan Raya Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Mazlan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tahap penguatkuasaan polis pemantauan ke atas rumah-rumah ibadat termasuk kuil di ibu negara rentetan insiden sebuah kuil di Taman Serdang Raya yang membenarkan majlis perkahwinan pada 24 Mei lalu.

Ditanya sama ada setiap rumah ibadat khususnya kuil akan dipantau mengelak insiden pelanggaran PKPB seperti di Serdang Raya berulang, beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau operasi rumah ibadat sepanjang PKP hingga ke PKPB supaya tidak melanggar peraturan.

“Jika melanggar peraturan PKPB Akta 342 PKPB akan digunakan untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka,polis tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai beberapa pihak yang merancang untuik mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada hujung minggu ini seperti yang ditular dalam media sosial, beliau menasihati mereka  supaya melepaskan hasrat berkenaan.

Selain itu, beliau juga menasihati pemilik pusat hiburan tidak beroperasi kerana ia juga melanggar arahan kerajaan buat masa ini.

“Jadi, saya minta tuan-tuan punya pusat hiburan janganlah beroperasi lagi kerana ia akan menyebabkan risiko penularan Covid dan sila pastikan premis anda sentiasa ditutup.

“Jika degil tindakan tegas akan diambil dalam Akta 342 PKPB ini. Kita akan memantau memastikan pusat pusat hiburan ini tidak dibuka.

“Orang ramai yang ada maklumat tentang operasi pusat hiburan dibuka, sila beri maklumat kepada kami supaya tindakan tegas dapat diambil dengan tangkas dan tuntas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sah! Pengurusan kuil Serdang akui ada majlis perkahwinan semalam – Polis