KUALA LUMPUR – Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 mendapati lebih 70% pertubuhan tidak mempunyai premis sendiri dan perlu membayar sewa kepada pemilik premis perniagaan.

Daripada jumlah tersebut, 68% adalah pertubuhan berstatus mikro, diikuti 18% bersaiz kecil, 12% bersaiz sederhana dan 2.0% bersaiz besar.

Dapatan banci juga mendapati pendapatan kasar pertubuhan mikro sebulan adalah di bawah RM4,360, terutamanya
peniaga yang menjual di industri runcit permaidani, tekstil, baju dan kasut; alat permainan dan barang mainan; makanan, minuman dan produk tembakau; rekod muzik dan video; produk makanan lain dan sayur-sayuran dan buah-buahan segar.

Kesemua industri ini adalah merujuk kepada jualan di gerai atau pasar, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Banci itu juga menunjukkan perkembangan dan penguncupan industri borong & runcit di Malaysia didorong oleh perubahan gaya hidup penduduk serta perubahan teknologi.

Menurutnya, banci yang dilaksanakan ini meliputi 615 industri dalam sektor perkhidmatan dan sejumlah 179 industri diliputi dalam Banci Perdagangan Borong & Runcit 2019.

Perdagangan borong merangkumi 83 industri diikuti dengan perdagangan runcit sebanyak 80 industri dan kenderaan bermotor 16 industri.

Kata jabatan itu, bilangan pertubuhan yang beroperasi dalam sektor perdagangan borong & runcit adalah 469,024 dengan pertumbuhan 4.8 peratus.

Selangor mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu 94,857, diikuti oleh Kuala Lumpur, 71,433 pertubuhan.

Sementara itu, secara purata margin bagi perdagangan runcit adalah yang tertinggi iaitu 32.6 peratus, diikuti kenderaan bermotor (28.4%) dan perdagangan borong (24.2%).

Pendapatan melalui e-dagang pada tahun 2018 adalah sebanyak RM92.0 bilion dengan pertumbuhan tahunan 13.8 peratus berbanding 2015.

Manakala pendapatan melalui e-dagang bagi subsektor perdagangan runcit pula adalah RM26.1 bilion dengan sumbangan 5.5 peratus kepada keseluruhan jualan runcit.

Industri dalam kumpulan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar menjadi pilihan pengguna dalam membuat
pembelian melalui platform e-dagang berbanding industri lain dalam subsektor ini.

Industri yang mencatatkan pendapatan tertinggi direkodkan oleh Jualan runcit sebarang jenis produk melalui internet, 97.7 peratus.

Jabatan Perangkaan menambah, bapatan Banci Perdagangan Borong & Runcit menunjukkan sumbangan
nilai ditambah bagi Perdagangan runcit telah mengatasi perdagangan borong pada tahun 2018 dengan sumbangan 44.9% berbanding perdagangan borong, 44.1 peratus.

Ini menunjukkan berlaku perubahan struktur dalam landskap borong & runcit di Malaysia yang telah menyamai
ciri-ciri negara maju.

Bagi negeri-negeri di Malaysia, 11 negeri lebih berorentasi kepada runcit seperti Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Pahang.

Justeru, negeri-negeri ini berpotensi untuk dikategorikan sebagai negeri maju.

Untuk memperkasakan lagi sektor perdagangan borong & runcit, pemborong dan peruncit boleh mengambil pendekatan seperti making retail more people centric, meneroka potensi e-dagang, mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini bagi memacu produktiviti, mempelopori konsep retailtainment dan membuat pelaburan berkaitan teknologi. – MalaysiaGazette