Seorang buruh binaan warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak 12 kes positif Covid-19 baharu dalam kalangan warga tempatan yang direkodkan untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari hari ini.

Namun bagi jumlah kes positif untuk tempoh tersebut mencecah tiga digit hari ini, iaitu 103 kes, setelah mencatatkan rekod terendah sebanyak 10 kes semalam sejak Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kesĀ  positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 kes.

“Daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

“Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah 12 kes sahaja,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Sehingga kini, katanya seramai lapan kes positif Covid-19 sedang
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, terdapat 66 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,235 kes.

Noor Hisham berkata, tiada kes kematian ekoran Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes kematian masih kekal 115 kes. – MalaysiaGazette