MH17
Tinjauan di lokasi kejadian tragedi MH17 di Grovova, Ukraine pada 23 Julai 2014. Foto : NOOR ASREKUZAIREY SALIM

MOSCOW – Moscow berharap hakim di Belanda akan memberi tumpuan kepada kelemahan siasatan kemalangan pesawat MH17 di timur Ukraine, termasuk kegagalan mengkaji peranan Ukraine, dan mengarahkan pemeriksaan tambahan.

“Siasatan antarabangsa tergesa-gesa memindahkan material ke mahkamah tanpa menyelesaikan siasatan. Perbicaraan pertama dilakukan pada Mac, ia adalah prosedur semula jadi.

“Kami berharap hakim-hakim akan memberi tumpuan kepada kelemahan kerja-kerja siasatan, bukti pemeriksaan balas disediakan mereka dilakukan sepenuhnya dan arahan tambahan pemeriksaan pakar,” kata Ketua Jabatan Eropah Kementerian Luar Rusia, Aleksey Paramonov dalam satu temubual seperti dipetik Sputnik.

Beliau membidas siasatan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang diketuai Belanda dan menyifatkannya sebagai ‘bermotif politik, bias dan berat sebelah’ menyatakan bahawa JIT menunjukkan pendekatan terpilih dan cuba membuktikan dakwaan pembabitan Rusia.

Paramonov turut mendakwa JIT gagal menyiasat peranan Ukraine dengan betul dalam kemalangan yang menyebabkan hampir 300 orang terkorban pada 2014

“Kami berulang kali menyatakan kami terkejut bahawa material, yang kami sediakan, sama ada tidak diendahkan atau diisytihar telah dipalsukan.

“Pada masa sama, material tambahan daripada sumber yang boleh dipertikaikan tidak dipersoalkan, termasuk bahan yang disediakan Ukraine yang jelas merupakan pihak berkepentingan.

“Tiada siasatan yang betul telah dilakukan terhadap peranan Ukraine dalam kemalangan MH17 berikutan kegagalan pihak berkuasan Ukraine menutup ruang udara untuk penerbangan awam di zon konflik bersenjata,” tambah Paramonov.

Walaupun bukan merupakan pihak yang menuntut keadilan, Rusia mengikuti bagaimana hak defendan warganya dihormati, kata diplomat itu.

Perbicaraan kemalangan MH17 akan disambung pada 8 Jun ini di Kompleks Keadilan Schiphol, tidak jauh dari Amsterdam. Warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko merupakan defendan dalam kes tersebut.

Pada 17 Julai 2014 sebuah pesawat Boeing B777 milik Malaysia Airlines yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine menyababkan kesemua 298 penumpang, termasuk anak kapal, terbunuh. – Agensi