KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih RHB Bank Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 susut 9.4 peratus kepada RM570.88 juta daripada RM630.19 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan berkurangan kepada RM3.23 bilion daripada RM3.35 bilion bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, RHB berkata penyusutan keuntungan itu disebabkan terutama oleh peruntukan kerugian kredit lebih tinggi dan pendapatan bukan pendanaan lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan pendanaan bersih lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lebih rendah.

Bank itu berkata pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 4.4 peratus kepada RM1,260.4 juta, didorong oleh pengurusan proaktif terhadap kos pendanaan yang turun 7.5 peratus hasil daripada peningkatan komposisi akaun semasa akaun simpanan (CASA) serta penebusan Modal Hibrid Tahap-1 RM600 juta dan subhutang RM1 bilion pada 2019.

Bagaimanapun, ini diimbangi oleh pendapatan berasaskan bukan dana lebih rendah dan peruntukan lebih tinggi untuk kerugian kredit yang dijangkakan (ECL), katanya.

Pendapatan berasaskan bukan dana susut 9.3 peratus kepada RM484.8 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan lebih rendah sejajar dengan hasil bon yang meningkat pada akhir suku ini selain keuntungan yang berkurangan daripada pertukaran asing dan pendapatan fi pasaran modal yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan pendapatan fi perbankan transaksional dan pendapatan pembrokeran, serta lebihan penjanajaminan insurans yang lebih tinggi.

Perbelanjaan mengurus turun 0.6 peratus kepada RM841.5 juta daripada angka tahun epas, didorong oleh usaha disiplin pengurusan kos dalam pasaran yang tidak menentu ketika ini dengan nisbah kos kepada pendapatan menjadi lebih baik iaitu 48.2 peratus daripada 48.6 peratus setahun lepas, menurutnya.

Ia berkata jumlah nilai aset syarikat kekal stabil dari Disember 2019 kepada RM257.8 bilion setakat 31 Mac, 2020 dengan aset bersih sesaham pada RM6.50.

Pinjaman kasar dan pembiayaan syarikat juga meningkat 3.6 peratus kepada RM176.2 bilion, disokong terutama pertumbuhan gadai janji berdaya tahan, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Singapura manakala pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 2.2 peratus katanya.

RHB Bank berkata bahagian pasaran pinjaman domestik syarikat berada pada 8.8 peratus setakat akhir Mac 2020.

Deposit pelanggan turut meningkat sebanyak 3,8 peratus kepada RM194.0 bilion, sebahagian besarnya didorong pertumbuhan CASA dan deposit pasaran wang tetapi diimbangi oleh penurunan dalam deposit tetap, menurut bank itu.- BERNAMA