Paling banyak adalah di ibu negara dengan Bukit Jalil mencatatkan 284 kes aktif diikuti dengan pusat bandar dengan 161 kes dan Pudu 57 kes.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setelah tidak mengeluarkan statistik positif Covid-19 dan zon merah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini bertindak mengeluarkan semula statistik itu.

Statistik terbaharu berkenaan menunjukkan zon merah aktif kebolehjangkitan Covid-19 hanya tinggal lima kawasan.

Paling banyak adalah di ibu negara dengan Bukit Jalil mencatatkan 284 kes aktif diikuti dengan pusat bandar dengan 161 kes dan Pudu 57 kes.

Dua lagi zon merah adalah di Selangor dengan 123 kes aktif di daerah Hulu Langat dan 83 kes di daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Melaka kian menghampiri negeri zon hijau apabila hanya mencatatkan tiga kes aktif sahaja dengan masing-masing satu kes di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Selain itu, Putrajaya juga masih mencatatkan kes aktif Covid-19 dengan empat daripadanya dikesan di Presint 1.

Empat negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Perlis masih dikategorikan sebagai negeri zon hijau apabila tidak lagi mencatatkan sebarang kes positif Covid-19.

Sementara itu, Kedah masih mencatatkan satu kes aktif di daerah Kubang Pasu, begitu juga di Kelantan dengan satu kes di Kuala Krai.

Zon kuning mencatat 61 kawasan dan zon hijau pula terus meningkat kepada 135 kawasan. – MalaysiaGazette